CEC DAP

PENDAFTAR PERTUBUHAN (RoS) baru-baru ini mengarahkan DAP supaya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan.

Ia ekoran aduan ahli-ahli DAP sendiri terhadap dakwaan manipulasi dan penipuan dalam pemilihan CEC pada 29 September 2013.

Kenapa pemilihan semua itu perlu dilakukan?

DAP perlu membuat pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC mereka yang sah dan diiktiraf.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP itu sendiri.

Adakah DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng akan mematuhi arahan RoS itu?

Selepas RoS mengeluarkan arahan itu, DAP bertegas untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu atas alasan parti telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP berkata, DAP akan mengadakan pertemuan dengan RoS hanya selepas menerima surat rasmi daripada jabatan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan mengenai pemilihan semula CEC itu.

Penjelasan apa lagi yang diperlukan oleh Guan Eng?

Aduan dibuat oleh ahli DAP sendiri mengenai penipuan dan manipulasi yang wujud dalam pemilihan CEC DAP sebelum ini.

Mereka juga menuntut diadakan pemilihan semula.

Bukankah pemilihan semula merupakan kehendak ahli DAP sendiri?

Bukan sahaja Guan Eng, Kit Siang juga mengkritik arahan RoS dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Ketika pelbagai pihak, akar umbi dan ramai bekas ahli DAP menyambut positif arahan RoS, Kit Siang terus dilanda sindrom penafian.

Sememangnya itu strategi Kit Siang untuk menutup kepincangan dalam pemilihan CEC yang tidak sah dan tidak diiktiraf oleh RoS.

Tindakan Kit Siang dan Guan Eng itu boleh dianggap keterlaluan dan dilihat sengaja untuk mencabar ROS.

Adakah DAP sengaja berbuat demikian?

Sepatutnya Kit Siang dan Guan Eng yang menguasai CEC bersikap budiman dengan akur sahaja kepada arahan RoS.

Tiada apa yang perlu dibimbangkan sebenarnya kecuali memang ada perkara yang mahu disembunyikan.

Adakah Kit Siang dan Guan Eng cuba menyembunyikan sesuatu?

Jika tidak ada, mereka sewajarnya telus dan segera mengadakan pemilihan semula.

Namun realitinya pepatah berkata, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Selagi DAP tidak mengadakan pemilihan semula (berdasarkan senarai perwakilan bagi pemilihan CEC 15 Disember 2012) selagi itu ‘bau bangkai’ akan terus mencemari parti tersebut.

Ini bermakna CEC yang ada berstatus haram dan tidak boleh meluluskan sebarang perkara berkenaan parti.

Ia juga membawa maksud status mereka bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu serta jawatan dalam kerajaan diragui sekali gus boleh dicabar.

Dalam isu pemilihan CEC DAP itu, Kit Siang dan Guan Eng perlu berhenti bersikap angkuh dan menghina sesiapa.

Sebaliknya dua tonggak Dinasti Lim itu wajar terus memohon maaf kepada seluruh ahli mereka atas masalah pemilihan dua CEC iaitu pada 2012 dan 2013.

Kenapa mereka perlu bertanggungjawab?

Pemilihan semula CEC DAP yang baharu perlu diadakan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan.

Adakah Kit Siang dan Guan Eng sengaja ingkar arahan RoS sebagai strategi untuk mereka mengadakan pemilihan semula selepas PRU-14?

Jika dilihat dari tindakan dua pemimpin berkenaan, DAP memang sengaja melengah-lengahkan CEC mereka biarpun tanpa sebarang alasan kukuh.

RoS juga semua sedia maklum tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan itu.

Arahan tidak akan dikeluarkan kepada sesebuah parti untuk mengadakan semula pemilihan CEC melainkan jika wujud sebarang persoalan atau curiga terhadap ketelusan dalam penentuan kepimpinan parti.

DAP juga perlu segera menghentikan tuduhan mereka bahawa Barisan Nasional (BN) yang mengarahkan RoS ‘menyerang’ selain menjadi dalang kemelut mereka.

DAP terutamanya Kit Siang dan Guan Eng pasti akan terus berdolak-dalik berhubung pemilihan semula CEC DAP.

Jika Kit Siang dan Guan Eng merupakan pemimpin yang berani kerana benar, apa sukarnya untuk mereka segera mengadakan pemilihan semula.

Adakah DAP akan berbuat demikian?

Terserah kepada Kit Siang dan Guan Eng kerana mereka ‘berkuasa’ menentukannya.

Mereka pastinya tidak mahu pendaftaran DAP dibatalkan jika terus ingkar mengadakan pemilihan semula CEC parti berkenaan.

Jika dibatalkan, DAP tidak akan layak bertanding PRU-14 lantas segala perancangan politik Kit Siang dan Guan Eng akan musnah.

Pemilihan semula CEC DAP harus diadakan semula dan perlu pemantauan rapi terutama dari pihak RoS bagi memastikan tiada lagi penyelewengan.

Bila tarikhnya? Rakyat terutama ahli akar umbi DAP kini menantikan keputusan yang akan diputuskan oleh parti berkenaan.

Selagi mereka berdolak-dalik, selagi itu kita tahu mereka menyembunyikan sesuatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here