IBARAT kata pepatah, masakan pokok akan bergoyong jika tiada angin.

Itu sesuai bagi menggambarkan dakwaan terbaharu daripada Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menyatakan menerima maklumat bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia memimpin delegasi Pakatan Harapan (PH) untuk bertemu dengan pemimpin politik Amerika Syarikat (AS).

Tunku Abdul Aziz mendakwa, delegasi itu yang dijadualkan berlepas ke AS pada 20 Februari 2018 bertujuan mencari bantuan asing untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mendapatkan sokongan jika PH membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Adakah itu pertama kali dilakukan oleh pembangkang di negara ini?

Ianya bukan pertama kali, bahkan sudah berkali-kali pembangkang dikaitkan dan didakwa cuba berunding dengan pihak asing untuk mencampuri urusan politik Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan baik dengan beberapa pemimpin tertinggi AS seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore dan bertemu dengan mereka bagi meminta sokongan terhadap gerakan reformasinya dan untuk memberi tekanan terhadap kerajaan BN.

Mahathir dulunya lantang menghentam agensi berita Barat yang mengkritik pentadbirannya, dan mendakwa mereka berniat jahat dan tidak boleh dipercayai, tetapi kini bekerjasama dengan Sarawak Report.

Mahathir menjadikan laporan palsu akhbar itu berhubung isu RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai senjata menyerang kerajaan BN, pimpinan Najib.

Untuk apa itu dilakukan?

Tujuan utamanya adalah untuk menimbulkan persepsi dan syak wasangka buruk rakyat terhadap kerajaan, khususnya UMNO dan Najib.

Terbaharu, Mahathir bersama pemimpin PH bertemu dengan wakil negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha untuk memberi tekanan dan menjatuhkan kerajaan BN.

Tidakkah tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai perbuatan mengkhianati negara?

Ini kerana, tindakan seperti itu akan membuka pintu yang lebih luas untuk pihak asing mencampuri politik serta ekonomi negara.

Adakah itu sebenarnya yang diinginkan oleh PH dan Mahathir?

Tidak salah jika perbuatan Mahathir dan PH berkenaan diibaratkan seperti mahu menjual negara.

Istilah menjual negara, bukanlah seperti yang pemimpin pembangkang momokkan kononnya pelaburan dari China, Arab Saudi, India, Singapura dan lain-lain lagi akan menyebabkan kedaulatan negara tergadai.

Menjual negara bukan dengan jalinan kerjasama ekonomi, pembangunan infrastruktur dan lain-lain, seperti mana dakwaan pembangkang bagi mengelirukan rakyat di negara ini.

Hakikatnya, menjual negara adalah tindakan yang dilakukan PH yang pada setiap masa sentiasa mengharapkan campur tangan asing untuk membantu mereka menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO.

Tindakan pembangkang itu lebih besar risikonya untuk tergadai kedaulatan sebuah negara.

Ternyata tindakan mereka meminta campur tangan asing termasuklah dalam soal pelaksanaan pilihanraya membuktikan mereka sebenarnya tidak ya­kin mampu menumbangkan BN dengan kekuatan sendiri.

Jika pilihan raya di negara ini tidak telus bagaimana pembangkang boleh mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum (PRU) 1999, 2008 dan 2013?

Sehingga ke hari ini, BN masih gagal mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat manakala Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor berada dalam tangan pembangkang.

Ternyata, PH semakin ketandusan modal untuk menjatuhkan kerajaan BN dan ditambah pula dengan kemelut berkaitan pembahagian kerusi antara mereka yang belum selesai sehingga mencetuskan perbalahan.

Jadi, mahu tidak mahu, PH terpaksa mencari apa juga senjata bagi mencapai misi mereka menawan Putrajaya dan yang paling penting merealisasikan cita-cita Mahathir mahu menjatuhkan Najib.

Terbukti, PH bukan sahaja mempraktikkan politik kebencian, fitnah dan tohmahan malah sanggup meminta bantuan pihak asing.

Adakah cara berpolitik dengan menggadai prinsip dan matlamat menghalalkan cara yang diinginkan oleh rakyat di negara ini?

Tepuk dada, tanyalah selera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here