Anwar Ibrahim merupakan sosok tokoh politik yang berjasa besar dalam arena politik negara. Suka atau tidak, ini satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, sama ada kawan atau lawan beliau. Tetapi apabila PKR masih terus menjaja nama beliau sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), dengan menjadikan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah sebagai “pemanas kerusi” sementara Perdana Menteri, ini merupakan satu kebiadapan dan penghinaan terhadap rakyat Malaysia.

Jawatan Perdana Menteri (PM) merupakan satu jawatan terpenting dan tertinggi dalam pentadbiran negara, ia bukan jawatan pengerusi kelab atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). PM bertanggungjawab menguruskan sebuah negara, bukan sebuah keluarga atau satu parti politik sahaja. Ia merupakan jawatan yang merentasi politik kepartian, bangsa atau agama. Apabila PKR seakan berhajat untuk mengulangi kesilapan sama di dalam “Langkah Kajang” yang penuh dengan pengkhianatan terhadap rakyat itu, saya melihat ini akan mengundang perpecahan di dalam PH itu sendiri dan natijahnya, masyarakat akan kecewa.

Calon PM untuk menang PRU

Pemimpin tertinggi PKR dan PH harus sedar, kelemahan mereka sekarang ini dimana. Jika kita merujuk kepada dapatan-dapatan daripada beberapa badan kajian tertentu, kita akan dapati kelemahan PH adalah menarik pengundi Melayu Islam untuk menyokong mereka.

Salah satu faktor utama mereka adalah kerana kebimbangan pengaruh DAP dalam menentukan siapa yang akan menjadi calon PM jika PH menang pilihanraya umum (PRU) ke-14 nanti. Berdasarkan pengalaman peribadi penulis sendiri, apabila berbual di lapangan dengan ramai pengundi Melayu atas pagar, mereka ingin menyokong PH tetapi bimbang dengan pengaruh DAP dan sentimen anti Islam yang sering dimomokkan terhadap parti itu.

Bagi meneutralkan sentimen ini dan kembali menarik undi Melayu yang menjadi lompang semenjak kehilangan sokongan ahli PAS, PH harus berjiwa besar dengan melantik tokoh dikalangan pemimpin PH yang dilihat berjiwa tebal Melayu Islam tanpa mengorbankan prinsip dan komitmen untuk menghapuskan rasuah dan salahlaku yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN.

Saya tidak dapat melihat calon lain yang dapat mengisi ciri-ciri seperti ini dikalangan pemimpin PH melainkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Komitmen beliau semenjak dari dalam UMNO untuk membawa isu 1MDB ke muka pengadilan harus diberikan kredit sehingga akhirnya beliau dipecat sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak. Mungkin akan ada segelintir penyokong PH dikalangan bukan Melayu akan sedikit gusar dengan Tan Sri Mahyuddin Yassin kerana beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang mana kelihatan seperti beliau ‘ultra’ Melayu.

Kebimbangan yang sama pernah dialami ketika Tun Mahathir mula menjadi PM, tetapi akhirnya pengundi bukan Melayu yang menjadi penyelamat beliau ketika mana negara berkrisis pada tahun 1999. Kita juga harus memperakui kepakaran beliau yang mana mengetuai banyak jentera pilihanraya sehingga berjaya membawa UMNO memenangi banyak kerusi DUN dan Parlimen.

Selain pengumumkan calon Perdana Menteri, PH juga harus mengemukan nama bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menutup terus sebarang spekulasi yang akhirnya akan membosankan rakyat. Datuk Saifuddin Abdullah (Ketua Seketariat PH) merupakan calon terbaik bagi menduduki jawatan ini berdasarkan usia dan kematangan beliau berpolitik yang mana telah menjadi harapan ramai anak muda untuk membawa politik lebih segar ke wacana politik negara. Sikap beliau yang sangat terbuka, dinamik dan progresif telah terserlah walaupun ketika beliau masih menduduki jawatan timbalan Menteri atas kapasiti ahli Parlimen UMNO.

Mengapa bukan Azmin Ali & Tun Mahathir

Azmin Ali merupakan tokoh politik yang bijak dalam merencanakan perjalanan kareer politik beliau, sehingga ada yang menyebut beliau sangat licik dalam berpolitik dan banyak percaturan politik beliau telah menenggelamkan Presiden parti PKR dan hatta Anwar Ibrahim sendiri. Pemilihan Azmin Ali bagi calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri hanya akan mencetuskan “civil war” di dalam parti PKR dan dikhuatiri akan merebak ke dalam parti komponen PH yang lain. Azmin Ali kini kelihatan selesa di Selangor dan biarlah kepimpinan beliau di Selangor menjadi aras penanda untuk beliau membuktikan kredibiliti beliau sebagai calon Perdana Menteri PH di masa hadapan.

azmin_ali2711a

Walaupun terdapat banyak cadangan daripada sesetengah pihak agar Tun Mahathir kembali menduduki jawatan Perdana Menteri, penulis merasakan cadangan ini sedikit melampau dan keterlaluan. Tun Mahathir telah melakukan banyak jasa dalam membangunkan negara sehingga ke tahap ini, tetapi usia beliau kini sudah mencecah usia 92 tahun. Biarlah pada sisa usia yang berbaki ini banyak dihabiskan dikerusi pemerhati dan penasihat PH sahaja, bukan lagi menanggung beban berat dipundak beliau sebagai Perdana Menteri.

Tun Mahathir pada awalnya kelihatan berkeras untuk menolak cadangan ini, tetapi lewat ini beliau mula sedikit terbuka menerima cadangan ini. Wahai PH, kasihanilah Tun Mahathir!

PH Harus Realistik

Wan Saiful Wan Jan, penganalisis politik dan Ketua Eksekutif bagi Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) menulis tentang pentingnya PH lari daripada imej Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin yang sezaman dengannya. Beliau mengatakan batu penghalang kepada PH untuk maju kehadapan adalah kumpulan penyokong Anwar Ibrahim di dalam PKR yang masih berkeras mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal kepada Perdana Menteri impian PH.

ideas wan saiful

Baru-baru ini apabila Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau tidak menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri, ini seharusnya memberikan lampu hijau kepada PH untuk bergerak kehadapan, PKR terutamanya. Walaupun sebahagian penganalisis politik membaca kenyataan Anwar Ibrahim sebagai “double meaning“, ini tidak harus menghalang PH untuk memilih calon PM selain daripada Anwar Ibrahim.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, saudara Mahdzir Ibrahim dalam sebuah rencana yang diterbitkan oleh laman Malaysiakini ada menanyakan soalan mengenai model pentadbiran PPBM dan pakej yang ditawarkan bagi membezakan antara PPBM dan UMNO. Soalan ini menarik kerana ia ditimbulkan dalam ruang media yang terbuka dan seakan menimbulkan persepsi kebimbangan bahawa PPBM mungkin akan menjadi UMNO kedua.

mahdzir-650x400

Soalan ini mudah dijawab kerana apabila PPBM menjadi sebahagian daripada anggota Pakatan Harapan, maka PPBM terikat dan komited dengan segala agenda-agenda perjuangan yang telah digariskan oleh kepimpinan tertinggi PH. Soalan saudara Mahdzir Ibrahim seperti seorang suami yang telah menikahi isterinya, tetapi dalam masa yang sama kekal meragui ikatan janji setia isterinya.

Penulis akui, model atau corak pentadbiran parti PPBM memang mirip kepada parti UMNO. Ini harus diakui dan merupakan “open secret“. Tetapi kita juga harus akui, dengan model yang sama jugalah UMNO kekal memerintah Malaysia sehingga ke hari ini. Jika model ini menunjukkan keputusan yang baik dan diterima oleh rakyat (baca: orang Melayu terutamanya), mengapa tidak PPBM mengambil pendekatan yang sama tetapi melakukan beberapa penambahbaikan agar parti baharu ini tidak terperangkap menjadi UMNO kedua seperti mana yang dibimbangi oleh saudara Mahdzir Ibrahim.

Dalam politik juga kita tidak harus sekadar berteori tentang betapa kolut dan korupnya parti UMNO, tetapi kita juga harus dinamik dan bersifat realistik dengan mengambil pelajaran daripada kejayaan UMNO mengekalkan momentum sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Akhirnya, rakan parti dalam PH harus memilih untuk mengutamakan prinsip dan matlamat perjuangan PH yang telah disepakati bersama bagi menentang UMNO-BN, atau pun masih berkeras dengan matlamat parti sendiri sehingga membelakangkan matlamat asal perjuangan PH yang ingin menumbangkan rejim UMNO-BN dan menggantikannya dengan pemerintahan yang lebih baik. Soalnya, agenda PH atau agenda parti anda?

ABDUL AZIM ROSLAN adalah AJK Armada PPBM Bahagian Selayang. Artikel beliau adalah pandangan peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here