Sebenarnya kita tak perlu bertanya siapa calon perdana menteri PAS? Sama seperti kita tak perlu bertanya siapa PM Umno-BN?

Menjadi tradisi politik di dalam PAS, Umno dan umumnya demokrasi di negara ini sejak merdeka, presiden sesebuah parti majoriti itulah yang secara automatik menjadi calon PM.

Amalan demokrasi di negara ini tidak sama seperti di Amerika Syarikat atau Indonesia. Di kedua negara berkenaan, misalnya, calon presiden tidak semestinya ketua parti. Kita lihat bagaimana misalnya Jokowi yang dipilih sebagai presiden, sedangkan dia bukan ketua Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P). Ketua umum PDI-P ialah Megawati Seokarno Putri.

Amalan di Malaysia selama ini lebih menghampiri apa yang wujud di United Kingdom apabila ketua parti — sama ada Konservatif atau Buruh — secara sendirinya adalah calon PM. Bertanya siapa calon PM daripada parti Konservatif, sebenarnya satu soalan lawak seram.

Sekiranya amalan ini mahu dirombak — katakanlah atas nama ‘reformasi’ sekalipun —maka wajib setiap parti memanggil satu perhimpunan atau kongres khas bagi akhirnya memilih satu sahaja calon.

Tidak munasabah kalau seorang ketua cabang, bahagian atau ahli biasa misalnya boleh sesuka hati menamakan dirinya sebagai calon. Seseorang calon perlulah melalui satu proses pemilihan dalaman untuk mendapat persetujuan majoriti anggota parti.

Melihat kepada pemilihan calon PM Pakatan Harapan baru-baru ini, proses pemilihan dalaman tersebut tidak berlaku. Calon yang dipilih bukan pula datang daripada parti majoriti. Parti-parti seperti PKR, AMANAH dan BERSATU bukanlah parti majoriti.

Parti majoriti di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) kini ialah DAP. Walaupun PKR dan BERSATU dikatakan bertanding lebih banyak kerusi, tetapi itu tak bermakna mereka boleh menang lebih daripada DAP.

hy170728w06

Keputusan menamakan seorang calon hanya di kalangan pemimpin tertinggi adalah sama sepertimana amalan parti di negara bekas Soviet Union, China atau negara-negara Komunis.

Biasanya pemilihan berkenaan hanya melibatkan satu jawatankuasa elit tertinggi yang dinamakan ‘biro politik’. Kaedah ini sebenarnya sudah ketinggalan zaman selain tidak pernah menjadi kelaziman di Malaysia.

Pemilihan calon PM daripada parti minoriti tidak boleh dijadikan alasan kononnya mahu mengekang kediktatoran, sedangkan sistem pemilihan itu sendiri bersifat tertutup. Seseorang calon yang terpilih dengan cara pemilihan peringkat atas sebenarnya membuka kemungkinan lebih besar menjadi seorang diktator kerana dia dipilih oleh kerana namanya. Sistem ini seakan-akan sama seperti kaaedah pelantikan maharaja di zaman dulukala.

Sekiranya raja itu berbuat zalim selepas menjadi raja, dia sesungguhnya tak bertanggungjawab kepada rakyat. Dia menjadi raja kerana diri dan namanya, yang dipercayai ada keistimewaan oleh para bangsawan terdekat. Dia menjadi raja bukan kerana dipilih secara demokratik dan terbuka.

Boleh dikatakan idea memilih seorang calon ‘PM minoriti’ hanya bermula selepas PRU ke-13 lalu. Waktu itu, PKR tidak lagi menjadi parti majoriti di dalam gabungan. Hanya memenangi 31 kerusi parlimen, sedangkan DAP menang 39 kerusi.

DAP bukan sahaja mempunyai kerusi lebih banyak di peringkat persekutuan, tetapi juga jauh menguasai PKR di banyak negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Pahang.

Di Johor hari ini, DAP mempunyai 13 kerusi dan PKR hanya 1 sahaja. Bahkan di Selangor, DAP juga sudah memiliki 2 kerusi lebih banyak. Dalam kata mudah, PKR sebenarnya sudah tewas di dalam persaingan dalaman berbanding DAP.

DAP berjuang dapatkan kuasa

Menamakan calon PM minoriti tidak akan menambah baik sistem dan lunas demokrasi sedia ada.  Sedangkan sudah menjadi kelaziman dalam amalan demokrasi di negara ini, seseorang PM dipilih daripada parti majoriti dan bukannya parti minoriti.

Di dalam HARAPAN, parti majoriti itu kini adalah DAP. Maka DAP lah yang paling berhak menamakan calon PM.

DAP tak pula boleh berkata yang mereka tidak mahu kerana perjuangan DAP selama 49 tahun adalah untuk mendapatkan kuasa.

DAP berbeza dengan PAS, kerana PAS dikatakan bukanlah berjuangan untuk mendapat kuasa melainkan hanya untuk mendapat ‘redha Allah’. Selepas bersusah payah dengan ada pemimpin yang dipenjara, tidak munasabah DAP berjuang hanya untuk mendapat redha Allah sepertimana PAS.

Di dalam perlembagaan negara tidak ada halangan bagi seorang Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng menjadi PM walaupun mereka bukan seorang Melayu-Islam. Halangan bangsa dan agama seumpama hanya wujud di beberapa negeri di Semenanjug dan bukannya di peringkat persekutuan.

DSC_7280

Menamakan seorang pemimpin Melayu di saat tidak ada parti Melayu yang menguasai gabungan pembangkang juga bukan sebagai ‘strategi’, tetapi terlihat lebih kepada hanya mahu mengaburi mata pengundi. Jarang sekali sesuatu strategi itu diberitahu kepada umum.

Tentulah mereka yang mengundi DAP cukup kecewa apabila parti yang mereka sokong selama ini mahu mengendurkan langkah untuk tidak mengambil peluang menjadi PM.

Di mata orang Melayu pula, tidak terlalu susah untuk difahami bahawa strategi berkenaan seakan-akan sandiwara sedangkan kerajaan baharu kelak sebenarnya didokong oleh DAP sepertimana yang wujud di Perak selepas PRU 2008.

Sekiranya kaedah melantik ketua negara di kalangan parti minoriti memang mahu diterima, maka tentu tiada halangan bahawa di Pulau Pinang, ketua menteri Melayu daripada PKR juga boleh dipilih.

Kalau keadaan berkenaan tidak dilakukan, secara sendiri HARAPAN tidak akan dilihat konsisten di dalam amalan demokrasi baharu yang mahu diterapkan.

Ya, tidak wujud satu tafsiran tunggal berkenaan demokrasi. Namun di dalam ruang bernegara yang sebebas mana pun, tentulah ada satu sistem yang tetap dan tak diubah-ubah.

Bayangkan kalau di dalam perlawanan bola sepak apabila tiang gol diubah-ubah bahkan ditambah menjadi lebih daripada dua, maka permainan itu akan menjadi huru-hara. Pergaduhan dan perang saudara dalam stadium boleh tercetus.

Samalah halnya dalam penggiliran raja-raja Melayu. Sekiranya tradisi berkenaan dipecahkan di mana ada giliran yang tidak dihormati, maka selepas itu tentulah berkemungkinan ada melanggar giliran yang lain sehingga menyebabkan sistem tidak boleh berlangsung dengan baik dan sempurna. Keutuhan sistem penggiliran Raja-raja Melayu di negara ini adalah contoh yang terbaik.

Selepas dua dekad, perjuangan reformasi adalah untuk membaiki sistem yang rosak, atau menambah baik sistem yang sediakala baik.

Reformasi sama sekali bukan bermaksud menambah rosak sistem yang memang sudah rosak, atau merosakkan sistem yang sediakala baik. Reformasi tidak pernah bertujuan untuk menimbulkan huru-hara di dalam ‘stadium negara’.

Maka calon PM PAS tentulah Hadi Awang, dan calon PM Umno BN ialah Najib Razak.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi. Artikel beliau adalah pandangan peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here