Calon muda

Barisan Nasional (BN) kini dilihat benar-benar serius mahu memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang apabila bersedia untuk memberikan peluang kepada calon-calon muda berpotensi dan berkaliber untuk bertanding mewakili parti berkenaan. Perkara itu dimaklumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid menyebut BN wajar mempertimbang untuk memberi ruang dan peluang kepada peserta Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 membuktikan kemampuan mereka di medan politik dan pentadbiran sebenar. Zahid mengakui terdapat sebilangan peserta dalam program berkenaan mempunyai bakat dan keupayaan yang baik dalam berbahas secara matang, malah lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah Ahli Parlimen sedia ada.

Zahid juga mahu YB Menteri Pendidikan Tinggi untuk memaklumkan kepada YAB Perdana Menteri mengenai hasil Persidangan Parlimen berkenaan di samping mengemukakan nama peserta-peserta yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai calon.

Aspirasi dan hasrat Zahid ini merupakan satu batu loncatan terpenting untuk BN mengumpul semula sokongan dalam kalangan golongan muda bagi memastikan PRU akan datang mampu menjanjikan kemenangan lebih selesa kepada gabungan politik pemerintah ini. Amat jarang untuk kita mendengar pimpinan Kerajaan pada masa kini bercakap tentang soal memberikan ruang besar kepada golongan muda, khasnya mahasiswa untuk terlibat dengan politik secara langsung dan Zahid sebenarnya membuktikan BN menaruh harapan serta keyakinan tinggi terhadap perjuangan anak muda.

Apa yang penting kini, hasrat Zahid ini disambut dengan positif oleh pemimpin BN di peringkat akar umbi dan mereka juga harus selaras dengan pandangan ini bagi membolehkan ruang lebih terbuka diberikan kepada golongan muda untuk terlibat dengan politik. Satu hal yang boleh dipelajari daripada langkah sebilangan pemimpin muda ini ialah kematangan fikir, bertindak dan melontarkan hujah secara tenang, bertenaga dan penuh isi. Ini ialah aspek yang boleh diterokai oleh pemimpin lama dalam BN.

Ego untuk melihat orang tua lebih bijak dan tahu segala-galanya berbanding orang muda harus ditolak ke tepi dan pemilihan calon berasaskan kepada merit wajar menjadi gaya terkini BN. Pemilihan calon bukan lagi berdasarkan kepada senioriti atau siapa paling berkuasa, tetapi berasaskan kepada keupayaan memimpin dan mewakili rakyat secara besar dan menyeluruh.

Zahid sudah memberikan ilham kepada formula baru untuk kemenangan BN dan kesempatan ini tidak wajar dipersia-siakan. Sehubungan itu, langkah awal perlu dimulakan dan nama-nama yang layak perlu dikenal pasti lebih awal untuk membolehkan mereka memahami setiap sudut tugasan seorang calon dan bakal wakil rakyat. Panduan yang baik mampu mencorak pemimpin muda ini menjadi lebih berkualiti.

Buat permulaan, meletakkan calon muda harus berasaskan kepada faktor lokaliti yang bersesuaian termasuk demografi pengundi muda yang lebih ramai dan kawasan bandar. Penerimaan pengundi untuk calon lebih muda di kawasan-kawasan seperti ini akan memberikan lebih kesan positif. BN sememangnya memerlukan wajah-wajah baru yang lebih segar untuk kemenangan dan cadangan Zahid ini wajar diambil dari sudut terbaik dan diteroka dengan penuh teliti untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here