Jose Mourinho menegaskan terlalu awal untuk melabelkan The  Red Devils  sebagai calon juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Manchester United ketika ini menghuni tangga kedua carta berkongsi 16 mata dengan pendahulu Manchester City, namun tercicir kerana jurang perbezaan gol.

Daripada enam perlawanan liga, United melakar lima kemenangan dan satu keputusan seri.

Bagi Mourinho, keputusan itu sudah cukup membuktikan mereka lebih bagus berbanding musim lalu, tetapi ia bukan bererti anak buahnya sudah boleh memikirkan tentang gelaran juara.

“Musim lalu kami mungkin kurang lima atau enam mata berbanding apa yang kami raih musim ini. Jadi, ada peningkatan ketara di situ.

“Tapi tiada gunanya. Ia hanya satu permulaan. Kami akan berdepan saingan lebih mencabar dengan beberapa perlawanan genting (Liverpool dan Tottenham Hotspur) bulan depan.

“Saya benar-benar rasakan enam pasukan akan bersaing merebut kejuaraan,” katanya.

Pada  aksi  menentang Southampton di Stadium St Mary’s kelmarin, jaringan tunggal Romelu Lukaku pada minit ke-20 memastikan United meneruskan momentum kemenangan.

Selepas ini, United beraksi menentang CSKA Moscow dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di laman lawan pada Khamis. – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here