Kementerian Pengangkutan menerima cadangan kerajaan Perak membangunkan lapangan terbang baharu di daerah Perak Tengah, kata Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata pembangunan projek di Gerbang Perindustrian Cempaka Sari (GPCS) di Mukim Bota dan Lambor Kanan di atas tanah kerajaan seluas 4176.7 hektar itu akan dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation Sdn Bhd (MRCB).

Dr Mah berkata pihaknya mendapat maklum balas kementerian berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang baharu menerusi satu surat bertarikh 24 Oktober lalu.

“Surat itu antara lain menyatakan kementerian telah mengadakan satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, MRCB, kerajaan negeri serta beberapa agensi bawahnya pada 8 Mei lepas.

“Di dalam mesyuarat itu, MRCB memaklumkan pembinaan lapangan terbang di GPCS adalah berkonsepkan zon perdagangan bebas, hab pengangkutan, terminal kargo bersepadu, pintu masuk antarabangsa dan zon pembangunan ekonomi, pendidikan dan perumahan,” katanya dalam sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Tambah Dr Mah, mesyuarat turut memutuskan MRCB melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan bagi menilai cadangan tersebut dan melantik KMPG sebuah syarikat juruperunding bagi menyiapkan laporan akhir.

“Setelah laporan akhir ditamatkan ia akan dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mah yang juga Adun Chenderiong menafikan dakwaan pembangkang lapangan terbang baharu tersebut tidak akan dibina.

“Apa yang dipetik dan dinyatakan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming pada sesi bahas (Bajet Perak 2018) satu kenyataan yang diputar belit,” katanya.

Katanya, kementerian bersama kerajaan negeri akan mengadakan satu lagi mesyuarat pada Selasa depan bagi membincangkan lebih lanjut berhubung pembinaan lapangan terbang baharu berkenaan.

“Pihak kerajaan negeri memang serius dan mengutamakan pembangunan lapangan terbang. Pihak kementerian bukan mengambil cadangan syarikat swasta (MRCB) sewenang-wenangnya tetapi ia melalui kerajaan negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here