Cadangan beberapa pihak untuk mewujudkan satu akta khas tangani masalah diskriminasi ditempat kerja perlu dilihat secara positif serta mendapat sokongan semua pihak dalam negara kita. Ianya dilihat penting kerana dapat memberi hak serta pada masa yang sama melindungi para pekerja dalam negara kita baik disektor kerajaan mahupun disektor swasta daripada sebarang bentuk diskriminasi.

Isu berkaitan dengan diskriminasi ditempat kerja mendapat tempat dalam negara kita selepas laporan berita yang menyatakan bahawa terdapat beberapa rangkaian hotel antarabangsa yang melarang pekerja wanita beragama Islam di bahagian khidmat pelanggan untuk memakai tudung. Kita perlu ketahui masalah diskriminasi di tempat kerja bukan sahaja meliputi masalah berkaitan dengan isu pemakaian tudung malah ia juga boleh berlaku di dalam banyak perkara seperti masalah diskriminasi dari segi jantina atau gender, diskriminasi dari aspek agama atau kepercayaan, diskriminasi dari aspek bangsa, warna kulit dan keturunan, diskriminasi dari segi umur, diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU) dan lain – lain lagi.

Segala masalah diskriminasi yang berlaku ditempat kerja ini akan menghasilkan impak negatif bukan sahaja terhadap diri pekerja itu sendiri malah turut akan menjejaskan reputasi dan produktiviti jabatan atau syarikat yang terlibat dengan masalah berkenaan. Walaupun kita memiliki pelbagai jenis peruntukkan undang – undang berkaitan dengan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] namun ia dilihat tidak memadai bagi memberi perlindungan yang secukupnya terhadap isu yang berkaitan dengan masalah diskriminasi dalam negara kita.

Oleh yang demikian, sejajar dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa “”Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata – mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang – undang atau dalam pelantikan kepada apa – apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana – mana undang – undang yang berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan atau apa – apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan”, maka cadangan bagi mewujudkan satu akta yang lebih khusus serta komprehensif bagi membendung masalah diskriminasi ditempat kerja diberi pertimbangan secara serius oleh pihak kerajaan untuk diwujudkan dalam negara kita.

Sehingga kini, sudah terdapat banyak negara dunia yang sudahpun memiliki akta yang sama atau yang hampir sama dengan cadangan yang telah dikemukakan seperti yang berikut: Australia (Sex Discrimination Act 1984), Austria (Equality of Treatment Act), Denmark [Gender Equality (Consolidation) Act], Finland (Act on Equality between Women and Men, 1995), Jerman (Act to Establish Equality for Men and Women), Guyana (Prevention of Discrimination Act, 1997), Honduras (Law on Equal Opportunities for Women), Iceland (Act on the Equal Status and Equal Rights of Women and Men), Ireland (Employment Equality Act, 1998), Jepun (Equal Employment Opportunity Act), Korea Selatan (Equal Employment Act), Lithuania (Law on equal opportunities), Malta (Equality for Men and Women Act), Mauritius (Sex Discrimination Act), Netherlands (Equal Treatment Act), Norway (Gender Equality Act), Romania (Law on equal opportunities), Africa Selatan (Employment Equity Act), Sweden (Equal Opportunities Act, 1991), Switzerland (Law on equality), Uruguay (Decree No. 37/997 regulating Law No. 16045 on the need for effective implementation of equality of treatment and opportunities at work), dan Venezuela (Organic Law on the Rights of Women to Fairness and Equality).

Dengan adanya undang – undang khusus terhadap isu terbabit, sebarang aduan dapat disiasat dengan lebih efektif serta terperinci. Ia juga dapat memberi isyarat yang jelas kepada semua pihak bahawa masalah diskriminasi ditempat kerja tidak boleh dipandang ringan serta perlu diatasi dengan segera.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya untuk Malaysia memiliki akta khusus yang berkaitan dengan masalah diskriminasi ditempat kerja supaya sebarang bentuk diskriminasi yang berlaku di tempat kerja sama ada secara langsung atau tidak langsung dapat dinyatakan dengan lebih jelas melalui peruntukkan undang – undang serta diharamkan dan dikenakan dengan sebarang bentuk hukuman yang setimpal terhadap pesalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here