Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang mengejutkan Dewan Rakyat apabila mencadangkan kerajaan agar melaksanakan hukuman mencucuk besi panas kepada pelaku seksual.

Menurut beliau, hukuman itu selayaknya diterima pelaku kerana tindakannya sukar dimaafkan oleh mangsa dan ahli keluarga.

“Apabila kanak-kanak dicabul keseluruhan keluarga tertekan. Begitu juga dengan adik beradik mangsa. Bagaimana hendak menghindarkan dendam keluarga ini kepada pemangsa yang melakukan perbuatan yang tidak senonoh ini.

“Kerana kita tahu dendam tidak akan terhakis selagi belum terbalas.

“Kalau boleh Yang Dipertua, saya mencadangkan lelaki yang melakukan perbuatan ini kita bakarkan satu besi panas dan cucuk. Biar mereka merasa apa yang dirasai mangsa ,” katanya ketika sesi pertanyaan tambahan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  di Dewan Rakyat (KPWKM), semalam.

Bagaimanapun, cadangan beliau itu tidak dijawab oleh Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd Dun.

Manakala Timbalan Speaker, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bertindak meneruskan soalan seterusnya bagi pertanyaan jawab lisan.

“Ini cadangan sahaja dan setuju atau tidak sahaja,” kata Ismail.

Sebelum itu Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) meminta Menteri KPWKM menyatakan bentuk perlindungan dan kebajikan yang diberikan kepada mangsa jenayah seksual kanak-kanak dan keluarganya selepas pesalah yang menjadi tempat bergantung dijatuhkan hukuman.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here