rafizi ramli

Datuk Rizal Mansor mencabar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menjawab persoalan berkaitan dana berjumlah RM2.7 juta yang dibelanjakan oleh Invoke.

Katanya, walaupun Rafizi dilihat seolah-olah telah menjawab persoalan yang dibangkitkan, namun hakikatnya beliau masih tidak menjawabnya secara jelas dan pada masa cuba mengalihkan isu.

“Persoalan ini juga turut dibangkitkan oleh pemimpin dan ahli-ahli PKR di mana mereka pernah mengatakan bahawa Rafizi telah mengutip dana jutaan ringgit. Antara persoalan belum terjawab adalah berkaitan butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000 siapa yang menderma, waktu bila dan di mana?

“Kedua butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?” soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Rizal turut mempersoalkan kenyataan Rafizi sebelum ini yang telah melaburkan wang Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Tabung Haji ke dalam Invoke sebagai modal.

“Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang. Keempat, sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara, adakah benar. Bukankah pejabat-pejabat Invoke banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?” katanya.

Katanya, bagi persoalan kelima pula, Rizal mendakwa purata gaji bagi 80 orang kakitangan sepenuh masa Invoke adalah sekitar RM1,100 sebulan.

“Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari Invoke seperti pendaftaran atau pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)?

“Tidak pernah ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku sebagai seorang yang telus. Apa yang kelakar, Rafizi selalu membangkitkan soal pekerja yang dibayar gaji rendah dan terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi. Tetapi Rafizi sendiri membayar gaji yang rendah kepada pekerja Invoke. Lebih malang jika antara mereka ada graduan universiti tetapi dibayar gaji pekerja buruh,” katanya.

Jelasnya, banyak lagi persoalan akan dibangkitkan tetapi beliau memberi peluang kepada Rafizi untuk menjawab dengan terang dan jelas terlebih dahulu lima perkara yang dikemukakan.

“Saya menjangkakan Rafizi akan mengeluarkan jawapan bersifat politik bagi mengalihkan isu. Saya mencabar Rafizi untuk tidak berbuat demikian dan berikan jawapan jelas sesuai dengan ketelusan yang beliau laung-laungkan selama ini,” katanya. – SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here