KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia membuat lantunan untuk dibuka naik hari ini seiring dengan peningkatan sentimen.

Menjelang 9.06 pagi, penanda aras pasaran FBM KLCI naik 7.21 mata kepada 1,597.4 selepas dibuka naik 7.32 mata pada 1,597.51. Trend peningkatan itu sering dengan peningkatan semalaman di Wall Street kerana pelabur mengubah tumpuan mereka menjelang pengumuman data ekonomi AS pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata, data itu akan menjadi kayu ukur sama ada Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah dalam mesyuaratnya bulan ini. Bagaimanapun, AllianceDBS Research berkata FBM KLCI berkemungkinan diniagakan pada paras di bawah 1,583.63 mata hari ini kerana kuasa beli lebih lemah berbanding tekanan jualan.

“Indeks utama (FBM KLCI) dijangka menguji paras di bawah sokongan semerta 1,580 mata. Penurunan di bawah 1,580 akan memberi lebih tekanan kepada pasaran dan menolak turun kepada paras sokongan seterusnya antara 1,550-1,570 mata,” kata firma penyelidikan itu. Jajaran pasaran pagi ini adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 135 berbanding 51, manakala 89 kaunter tidak berubah, 1,501 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 72.7 juta saham bernilai RM35.28 juta. Antara kaunter aktif, AirAsia dan KNM masing-masing naik 1.5 sen kepada 97 sen dan 47.5 sen manakala Metronic dan Nexgram masing-masing tidak berubah pada tujuh sen dan 7.5 sen.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 20 sen kepada RM8.49, Public Bank naik 10 sen kepada RM17.84, TNB naik lapan sen kepada RM11.20 tetapi Axiata jatuh satu sen kepada RM5.90 dan Maxis jatuh lima sen kepada RM6.50.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here