Seorang ahli psikologi memberi amaran tentang kesan hebat buli siber ke atas seseorang. Goh Chee Leong, Dekan Fakulti Sains Tingkah Laku di Universiti HELP, memberitahu FMT kemudaratan daripada buli siber boleh menjadi lebih buruk daripada kesan buli biasa.

“Setiap jenis buli memberikan kesan yang berbeza,” katanya. “Bagaimanapun, ada kes di mana buli siber boleh memberi kesan pada mangsa seburuk atau lebih buruk daripada buli berdepan.

“Kadang-kadang pemangsa menyembunyikan identitinya, menyebabkan mangsa sukar melawan atau mempertahankan diri.

“Tambahan pula, mungkin lebih daripada seorang yang membuli. Mungkin 20 atau 50 orang turut serta.”

Ketika ditanya apa yang boleh dilakukan jika seseorang itu dibuli dalam talian, Goh berkata sukar untuk memberi nasihat kecuali semua faktor berkaitan buli itu dapat ditentukan. Namun, beliau memberikan beberapa petua.

“Yang paling penting ialah orang itu mesti melindungi harga diri sebanyak mungkin kerana itulah perkara pertama yang terjejas apabila anda dibuli,” katanya.

“Satu lagi perkara penting ialah mendapatkan sokongan daripada kawan-kawan atau keluarga. Mangsa buli perlukan sokongan orang yang menyayanyi dan menghargai nilai diri mereka. Jangan terpengaruh dengan pesanan-pesanan negatif daripada orang yang tidak mengenali diri anda.”

Rabu lepas, Wanita DAP Selangor mengeluarkan kenyataan mengecam membuli orang kerana pandangan politik mereka.

Wanita DAP Selangor menggesa rakyat supaya beradab dalam hubungan dalam talian mereka, dan membidas perkongsian serangan peribadi di media sosial.

Wanita DAP Selangor tidak menamakan mana-mana individu atau isu politik tertentu yang terlibat dalam buli siber itu, tetapi dipercayai mereka merujuk kepada serangan yang ditujukan terhadap penyokong kempen #UndiRosak Maryam Lee.

Selepas penglibatannya dalam satu forum pada 25 Januari, Maryam menjadi sasaran ubah suai imej, komen seksis dan tuduhan beliau dibayar oleh Barisan Nasional. Serangan itu dilihat di platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta dalam ruangan komen laporan yang disiarkan oleh portal berita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here