Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuka pemilihan Presiden UMNO kepada semua anggotanya sejak 2013 menunjukkan beliau seorang yang terbuka dalam parti itu.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Najib yang juga presiden UMNO membuka ruang kepada 165,000 anggota parti itu untuk bertanding jawatan itu menunjukkan beliau seorang yang mengamalkan demokrasi dan bukan bersikap diktator.

“Itulah keterbukaan perdana menteri yang juga presiden UMNO kita, dia buka supaya semua orang ada peluang tetapi presiden sebelum ini tidak buat pun malah menggunakan ‘undi kuota’ setiap kali pemilihan parti untuk terus kekal.

“Zaman Datuk Seri Najib ini juga, setiap pemimpin di peringkat bahagian juga perlu dapatkan undi dari akar umbi bahagian sebagai contoh kalau perwakilan ada 3,000 maka kena dapatlah undi semua..bukan macam dulu. Ini semua perubahan untuk kepentingan anggota dan menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Mahdzir berkata demikian mengulas kenyataan Najib hari ini yang dilaporkan berkata langkah membuka pemilihan presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggotanya pada 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukan milik beliau seorang malah berbeza dengan zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata pada zaman kepimpinan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme ‘undi kuota’ dan ‘undi bonus’ setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

Katanya semasa menjadi presiden UMNO beliau memansuhkan undi kuota dan undi bonus malah nasibnya sebagai presiden parti juga diserahkan kepada lebih 165,000 anggota UMNO seluruh negara yang mana mereka ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here