Pemimpin politik yang sering pindah kerusi selamat pada pilihan raya umum disifatkan sebagai tidak beramanah dan mementingkan diri sendiri.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata tindakan pemimpin berkenaan juga memberi kesan buruk kepada rakyat yang mereka wakili kerana gagal berkhidmat dengan baik.

“Budaya lompat kawasan setiap kali pilihan raya umum tidak sepatutnya berlaku di Malaysia kerana seseorang wakil rakyat harus menjadi wakil kepada rakyat dan bukannya kerana ingin meluaskan penguasaan mereka.

“Kebanyakan pemimpin politik yang suka berpindah randah ini disebabkan mereka tidak yakin pada diri sendiri dan takut hilang kepercayaan daripada pengundi yang mengundi mereka sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.

Ainul berkata, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai contoh yang sering bertukar kawasan pilihan raya dan sudah bertanding di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, budaya berpindah randah hanya merugikan pengundi di kawasan terbabit kerana segala rancangan yang dilakukan untuk memajukan masyarakat setempat akan terhenti apabila wakil rakyat terbabit berpindah ke kawasan lain.

“Pemimpin suka lompat kawasan sebenarnya tidak yakin pada diri sendiri dan salah mereka juga kerana tidak turun kawasan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat. Malah ada juga yang hanya tunjuk muka apabila pilihan raya semakin hampir,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan, berkata budaya berpindah randah kerusi Parlimen atau DUN hanya akan mengkibatkan cah keting berlaku.

“Ketua bahagian yang sudah lama menggerakkan kerja di kawasannya akan terasa seperti dipinggirkan apabila parti memilih orang luar menjadi calon di kawasan mereka lebih-lebih lagi calon itu terkenal dengan sifatnya yang suka lompat kawasan.

“Akibatnya akan wujud unsur sabotaj dan cah keting yang akhirnya merugikan parti itu sendiri,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here