Filem Bravo 5 bukan sahaja membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda negara hari ini malah mengangkat kisah perjuangan wira negara menentang pengganas komunis.

Filem garapan pengarah M Hitler Zami ini turut mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat tanah air seperti Beto Kusyairy sebagai Trooper Karim, Remy Ishak (Leftenan Azri) dan Soffi Jikan (Ketua Parti Komunis Malaya) selaku teraju utamanya.

Selain itu, ia dibantu barisan pelakon seperti Sa­shi Tharan (Koperal Morgan), Xavier Fong (Koperal Ah Chia), Frank Peterson (Sarjan Unya), Normah Damanhuri, Siti Saleha,Tasha Shilla dan Allahyarham Kuswadinata.

Selaku pengarahnya, Hitler berkata, pihaknya berdepan cabaran besar untuk merealisasikan filem itu seperti dikehendaki skripnya.

“Apa yang mencabar, saya perlu menonjolkan semangat kenegaraan dalam filem gentre patriotik ini. Maklumlah, saya mengambil alih mengarahkan naskhah ini daripada pengarah sebelumnya.

“Filem yang membabitkan kos mencecah RM4.5 juta ini mengambil tempoh lebih tiga tahun untuk disiapkan kerana kami perlu merombak semula skrip untuk memastikan keaslian jalan ceritanya dan hasilnya juga berkualiti serta memuaskan hati semua pihak.

“Namun, kami juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia berdasarkan kisah benar melalui skrip yang dihasilkan Mejar Zainal Hayat iaitu Diari Misi Komando,” katanya.

Hitler ditemui pada majlis tayangan perdana filem Bravo Lima di Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama, penerbit filem ini, Nik Nur Ashikin Nik Abdul Majid dan penulis skripnya, Mejar Zainal Hayat.

Bercerita babak paling mencabar, kata Hitler, ia membabitkan babak peperangan antara lima komando terbabit ketika menentang pengganas komunis.

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk memaparkan babak peperangan seperti dikehendaki skripnya. Pihak kami juga dibantu dengan penggunaan teknik CGI (Imej Janaan Komputer) sebanyak 40 peratus dalam filem ini.

“Babak lain yang tidak kurang mencabarnya ialah babak isteri Leftenan Azri iaitu Bunga dirogol pengganas komunis di rumahnya. Penggambaran filem ini membabitkan lokasi sekitar Tapah, Cameron Highlands dan kawasan sekitar Perak, Pahang dan Tugu Negara,” katanya.

Ditanya harapannya pada filem itu, kata Hitler, dia sangat berharap penggemar filem tempatan terutama generasi muda tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem itu di pawagam berhampiran.

“Sebagai pengarah, saya memang tidak pernah puas dengan setiap karya dihasilkan kerana percaya boleh buat yang lebih baik lagi. Apapun, saya sudah berusaha buat yang terbaik seperti dikehendaki skrip filem Bravo Lima dan inilah hasilnya.

“Pada masa sama, saya juga tidak bimbang de­ngan sambutan penonton di pawagam kerana percaya filem patriotik sudah ada pengikutnya tersendiri.

“Saya percaya ia pasti memenuhi cita rasa penonton yang dahagakan filem genre patriotik kerana sudah 10 tahun kita tidak ada filem genre sedemikian,” katanya.

Beto berjaya sentuh emosi penonton

Lakonan mantapnya sebagai Trooper Karim dalam filem ini berjaya mencuri perhatian penonton pada malam gala tayangan filem berkenaan, kelmarin.

Bukan saja menyerlah sebagai anggota komando yang terselamat dalam misi rahsia, Beto juga berjaya menyentuh emosi penonton pada penghujung filem ini hingga ramai menitiskan air mata menghayati lakonannya.

Hati siapa yang tidak terusik apabila melihat kesedihan Karim ketika berdepan anggota keluarga komando yang terkorban di Tugu Negara dan dia juga satu-satunya anggota komando yang terselamat dalam operasi berkenaan.

Secara peribadi, Beto mengakui dia juga menimba pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang penggambaran filem berkenaan.

“Kami juga berguru dengan komando ATM yang sebenar untuk menjiwai watak Trooper Karim di Kem Sungai Udang, Melaka selama seminggu.

Apa yang menarik, saya juga menimba pengalaman berharga ketika menjalani latihan asas ala komando apabila kami belajar mengenai formasi ala komando, mengenal pasti perangkap sebenar dan senjata digunakan dalam peperangan menentang pengganas komunis itu.

“Selepas selesai latihan, perwatakan saya berubah sama sekali menjadi pendiam, tegas dan gila-gila seperti komando sebenar,” katanya.

Beto berkata, dia juga melakonkan babak lagak ngeri sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri untuk merealisasikan wataknya dalam filem itu.

“Semua pelakon utama memberikan komitmen terbaik dalam cerita ini. Bersandarkan pengalaman ketika menjadi pelakon lagak ngeri sebelum ini, saya berusaha menjayakan aksi lasak dalam filem Bravo Lima.

“Apapun, saya memang tidak pernah puas dengan lakonan sedia ada kerana percaya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Filem terbitan Karya Prima Production Sdn Bhd dengan kerjasama ATM ini mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 10 September ini.

Sinopsis

Bravo Lima berdasarkan kisah benar dan berlatarkan tahun 1989. Ia menceritakan mengenai lima anggota Komando Tentera Darat Malaysia (Rejimen Gerak Khas) yang ditugaskan mengesan kedudukan pengganas komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik di kawasan tengah Semenanjung Malaysia.

Malangnya, perhubu­ngan mereka terputus kerana mengalami kerosakan ‘set peralatan komunikasi’. Tanpa bantuan pasukan sahabat lain yang sepatutnya tiba, mereka terpaksa bertempur dengan hampir 200 pengganas komunis.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here