DARI sebuah tadika yang beroperasi secara kecil-kecilan pada 2008 di Kajang dengan nilai pelaburan RM150,000, kini Brainy Bunch mampu menjana perolehan RM39 juta selepas lapan tahun.

Siapa sangka, tadika ini mampu membina satu jenama milik Bumiputera tempatan yang dikenali dan menjadi contoh kepada industri selarian masa ini, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di Indonesia dan Singapura.

Menelusuri sejarah penubuhan Brainy Bunch, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch Islamic Montessori, Mohd Fadzil Hashim berkata, pusat pendidikan itu ditubuhkan pada 2010 selepas penjenamaan semula tadika yang dibelinya di Kajang.

“Saya mahu melahirkan generasi muda Islam yang berkualiti pada masa akan datang dengan menggunakan konsep pembelajaran Montessori, menjadi alternatif kepada sistem pembelajaran Islam menerusi bahasa Inggeris, sebab itu lahirnya Brainy Bunch.

“Pada masa sama, saya melihat ada potensi yang baik bagi pendidikan prasekolah yang telah mula mendapat tempat dan berkembang pada masa itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, pemilihan nama itu kerana menginginkan sesuatu jenama yang membawa imej Islamik tetapi segar, mesra dan bertaraf antarabangsa.

Katanya, selepas pembukaan tadika pertama, Brainy Bunch membuka empat cawangan pada 2011 di Puchong, Semenyih, Shah Alam dan Kota Damansara dengan menggunakan sistem baharu bagi memastikan ia mampu menyampaikan pendidikan yang standard kepada pelajarnya.

Mohd Fadzil berkata, tiga kriteria Brainy Bunch adalah Islamik, Montessori dan Bahasa Inggeris.

Berikutan kejayaan projek perintis itu dan yakin dengan sistem yang digunakan, Brainy Bunch terus berkembang dengan membuka 10 cawangan pada 2012.

Setahun selepas itu, Brainy Bunch berjaya membuka 37 cawangan di Lembah Klang dan meneroka beberapa pasaran negeri lain seperti di Pahang, Sabah dan Sarawak.

Sehingga Januari 2018, Brainy Bunch mempunyai 104 cawangan di seluruh negara, dua di Indonesia sejak 2016 dan empat di Singapura pada 2014.

Berlandaskan kejayaan prasekolahnya yang jadi pilihan ibu bapa golongan pertengahan, Brainy Bunch mengorak langkah dengan membuka sekolah antarabangsa di Subang Jaya pada 2013.

Akuinya, bagi mendapatkan model dan sistem pembelajaran terbaik digunakan di sekolah itu, dia telah melawat Australia bagi melihat model dan sistem pendidikan Montessori di negara itu.

Katanya, sistem pendidikan menggunakan Montessori di Asia Tenggara hanya sehingga peringkat tadika sahaja, oleh itu, dia perlu belajar dengan mengunjungi sekolah itu untuk mempelajari sistem dan model mereka.

“Selepas tiga bulan mempelajari model, kurikulum, membangunkan kandungan dan memberi latihan kepada tenaga pengajar, barulah kami memulakan sekolah antarabangsa.

“Sehingga kini, kami menjadi sekolah antarabangsa Montessori yang pertama di Malaysia,” katanya.

Selepas lima tahun beroperasi di Subang Jaya, Brainy Bunch membeli 2.02 hektar tanah di Cyberjaya bernilai RM17 juta bagi membangunkan Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, yang telah beroperasi pada awal Januari lalu.

Mohd Fadzil berkata, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM35 juta, sekolah antarabangsa enam tingkat dengan keluasan 185,000 kaki persegi bagi 18 kelas itu siap dibina pada akhir tahun lalu.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here