HINA sangatkah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di mata Mokhzani Mahathir, anak kedua bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Ini kerana Mokhzani mengeluarkan kenyataan bahawa, menerima BR1M bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan.

Kata Mokhzani, walaupun kerajaan menyatakan bahawa ia membantu rakyat dengan memberikan bantuan itu, rakyat lupa bahawa mereka menerima wang itu kerana mereka tidak mampu untuk menanggung diri mereka sendiri.

“Kita boleh berbangga dan menjadi seperti juara apabila kita sudah kaya. Kita boleh merasa hebat dengan wang hasil susah payah kita sendiri.

“Itulah yang penting. Ia bukan mengenai orang memberi kita wang supaya kita dapat terus hidup. Itu bukan sesuatu yang bagus.

“Kita boleh merasa bangga apabila kita dapat memastikan kehidupan kita boleh disara dan kita boleh menyara keluarga kita sendiri,” kata Mokhzani.

Jika diamati, boleh dikatakan sungguh bongkak kata-kata yang keluarkan dari mulut anak Mahathir itu.

Siapa tidak mahu kaya?

Semua rakyat pastinya mahu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Ada yang bekerja siang dan malam, susah payah bagi mencari sumber pendapatan.

Tetapi tidak semua rakyat berpelajaran dan mempunyai sumber pendapatan yang baik seperti Mokhzani.

Tidak semua rakyat dilahirkan dalam keluarga yang ‘berada’ seperti mana Mokhzani.

Kepada Mokhzani, Pakatan Harapan sendiri menyedari BR1M telah memberi manfaat kepada mereka yang paling memerlukan di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pakatan Harapan menerusi Laporan Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan pakatan berkenaan semalam.

Pakatan Harapan berpendirian, untuk mengekalkan pembayaran yang sama kepada kategori penerima yang sama menerima bantuan itu ketika ini.

Bapanya, Mahathir pernah mengatakan yang pemberian BR1M sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Mahathir mendakwa BR1M digunakan oleh kerajaan bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Mahathir membuat pusingan U pada awal tahun ini apabila menyatakan hasrat mahu meneruskan bantuan itu jika Pakatan Harapan menang pada PRU-14 akan datang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya daripada PKR, Wong Chen juga pernah mengakui BR1M merupakan insentif yang berjaya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sedih apabila melihat Mokhzani boleh membuat kenyataan sedemikian yang seolah-olah menghina penerima BR1M dan rakyat yang kurang berkemampuan.

Mokhzani bolehlah bercakap begitu kerana dia lahir dalam keluarga berada dan dia sendiri senang hasil projek yang diberikan oleh bapanya sendiri.

Cuba bayangkan, jika tiada ayahnya, bolehkah Mokhzani mengecapi apa dikecapinya kini?

Apakah semua yang diperolehinya kini adalah hasil usahanya sendiri?

Rakyat ramai lagi yang membanting tulang untuk mencari sumber pendapatan, jadi, salahkah untuk mereka menerima BR1M?

Menerima BR1M bukan bermaksud rakyat tidak perlu lagi bekerja. Mereka tetap perlu bekerja untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Jadi, janganlah memperkecilkan penerima BR1M kerana mereka juga ada hati dan perasaan.

Lainlah Mokhzani, beliau sememangnya sudah kaya dan apabila celik mata di dunia ini telah disediakan dengan kemewahan.

Tindakan memperlekehkan penerima BR1M adalah satu perbuatan menghina dan tidak mempedulikan kehidupan orang lain.

Pemberian BR1M adalah satu bantuan tambahan kepada rakyat yang memerlukan.

Ramai yang menerima manfaat daripada BR1M dan ia mencukupi dalam membantu meringankan beban rakyat.

BR1M adalah bantuan kepada rakyat terutama kepada golongan B40 dan ia harus diteruskan sehingga tiada siapa yang memerlukannya atau sehingga negara tidak lagi berkeupayaan.

Dalam Islam sendiri, ada Baitulmal yang menyalurkan bantuan zakat dan pelbagai bantuan lain melalui kutipan zakat.

Bantuan ini adalah bagi mereka yang memerlukan serta terhad kepada golongan asnaf dan Islam. BR1M adalah untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama.

Rakyat tidak pernah meminta Mokhzani atau keluarganya memberikan BR1M. Ia pemberian kerajaan yang prihatin kepada rakyatnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here