BR1M 6.0

FASA ketiga pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 6.0 dibuat pada 16 Ogos 2017 sekali gus membuktikan bantuan yang masuk tahun keenam sejak dilaksanakan pada 2012 itu terus memberi manfaat kepada rakyat.

Pemberian itu dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidiladha yang dijangka pada 1 September.

Semasa pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kadar pembayaran BR1M 6.0 akan dinaikkan.

Untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000 manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800.

Individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Kategori baharu diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 yang menerima BR1M sebanyak RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 diteruskan pada BR1M 6.0.

Sehingga Mac lalu, sebanyak 6,320,769 permohonan diluluskan bagi menerima BR1M 2017 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 bilion.

Ia merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Untuk rekod bilangan BR1M ialah 4.1 juta orang pada 2012, 6.8 juta orang (2013), 6.9 juta orang (2014), 7.3 juta orang (2015) dan 7.3 juta orang (2016).

Jika melihat kepada senarai penerima BR1M, adakah bantuan itu tidak memanfaatkan rakyat?

Selepas pengumuman BR1M 6.0 akan diteruskan, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan BR1M merupakan rasuah kerajaan kepada rakyat.

Pendapat Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PKR menganggap BR1M telah memberikan kesan positif kepada rakyat malah meminta kerajaan meningkatkan lagi nilai bantuan kepada RM 1,500.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berpendapat BR1M bukan satu bentuk rasuah seperti yang didakwa oleh Mahathir kerana bantuan itu perlu diberikan untuk membantu rakyat.

Ini bermakna, walaupun PPBM, PAN, PKR dan DAP telah bersepakat untuk membentuk pakatan pembangkang yang baharu iaitu Pakatan Harapan, ia tidak menggambarkan pendirian sebenar.

BR1M hanya dipolitikkan demi mengaburi mata rakyat kononnya bantuan itu adalah rasuah.

Adakah Mahathir menganggap semua penerima BR1M di negara ini sebagai orang yang menerima rasuah?

Persoalan ini perlu dijawab oleh Mahathir kerana tuduhan BR1M sebagai rasuah dibuat oleh Pengerusi PPBM itu sendiri.

Dalam usaha kerajaan memberi bantuan kepada rakyat, pihak pembangkang pula memperlekehkan BR1M, dengan mengatakan ianya dedak, usaha memancing undi, dan rasuah.

Pihak pembangkang sepatutnya lebih sensitif, penerima bantuan itu menggunakan BR1M untuk membeli keperluan harian dan sebagainya.

Janganlah menggunakan bahasa kesat, mengelirukan dan merendahkan martabat mereka hanya untuk kepentingan politik. BR1M tidak seharusnya dipolitikkan.

Berhentilah juga mengatakan saban tahun negara akan muflis, walhal saban tahun juga jumlah BR1M dinaikkan bagi lebih membantu mereka yang memerlukan.

Adakah negara muflis selepas enam tahun melaksanakan BR1M?

BR1M bantuan ikhlas kerajaan kepada mereka yang memerlukan dan diagihkan mengikut kelayakan serta kriteria yang ditetapkan berdasarkan pendapatan perseorangan atau isi rumah.

BR1M tidak mengira kaum, agama, mahupun pegangan parti politik.

Kepada penerima BR1M, berdoalah bantuan itu terus dinikmati pada 2018 dan kadar bayarannya bertambah.

Semoga BR1M terus membantu rakyat terutama golongan memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here