KETIKA Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon perdana menteri beberapa hari lalu, saya, seorang anak muda (tak berapa muda) sedang kedinginan di kota Tokyo. Suhu turun serendah 2 darjah Celcius.

Bersama-sama ketika saya menggeletar kedinginan pada hujung minggu itu adalah buku “Perahu Mabuk” tulisan Saut Situmorang.

Saat saya membaca berita Dr Mahathir Mohamad adalah calon seksi dan sensasi yang ditunggu-tunggu itu, saya berada dalam tren Fukutoshin Line dari Chikatetsu Akatsuka menuju ke stesen Shinjuku. Dan pantas saya teringat sajak cinta Situmorang yang bertajuk “Hujan dan Memori”.

Tulisnya:
“aku akan melupakanmu tapi aku akan ingat namamu
aku akan melupakanmu tapi aku akan mengingat wajahmu
aku akan melupakanmu tapi aku akan mengingat cintamu, dulu
mana mungkin hujan berhenti turun ke bumi, mana mungkin aku berhenti mengenangmu?”

Sebagai anak muda yang membesar dengan terma “pembonsaian pemikiran” oleh Hishamuddin Rais yang merujuk gaya-autokratik-autoritarian-Mahathirisme, pencalonan Dr Mahathir adalah tamparan besar.

Hari ini pada 2018, segala kejahatan “Mahafiraun” dan “Mahazalim” itu sudah hilang. Lebih dahsyat tamparan ini datangnya daripada Hisham sendiri, yang sebelumnya menulis makalah pembersihan dan penyucian bertajuk “Mengepung kota dari desa”.

Maka dengan kata kunci seperti “Bani Melayu” dan kata kerja seperti “Melayu kunci perubahan”, Dr Mahathir kini disucikan oleh Hisham sendiri. Dr Mahathir pada 2018 persis seorang bayi, suci, putih dan disucikan, ditayamumkan oleh Hisham.

Karl Mannheim, sosiolog kelahiran Hungary pernah menulis Ideologi dan Utopia dalam bahasa Jerman pada 1929: “Setiap individu akan berdepan dengan dua sisi ketika membesar dalam sebuah masyarakat: Di satu pihak dia mendapati situasi yang telah sedia dibuat dan di pihak lain yang dia dapati situasi yang pada akhirnya membentuk pola pemikiran dan tingkah laku,”.

Sarjana Jerman ini sebenarnya sedang berbicara mengenai bagaimana manusia berfikir, bukan sebagai individu tetapi sebagai instrumen aksi kolektif terutamanya dalam politik.

Jadi apakah yang sedang berlaku sebenarnya? Mengapa, akhirnya Reformasi menentang “political animal” yang dimulakan 20 tahun lalu pada hari ini terpaksa mengambil pusingan U dengan membuat upacara penyucian hadas besar-besaran?

Mengapa propaganda gaya Goebbels dilancarkan oleh aparat politik dalam PH semata-mata untuk memiliki tiga hingga lima peratus undi Melayu? Apakah benar tiada pemimpin muda yang berkelayakan dalam PH?

Elit vs Massa

Maka jika benar seperti kata Hisham, PH terdesak menggunakan Dr Mahathir semata-mata kerana mahukan tiga hingga lima peratus undi Melayu, ini memberikan satu signal kepada anak muda.

Propaganda meletakkan muka Dr Mahathir sebagai muka depan PH adalah sejenis propaganda jahat untuk menipu orang Melayu di kampung-kampung.

Jadi, hari ini perlawanan politik yang sedang kita saksikan bukanlah perlawanan ideologi atau pertarungan dasar siapa yang paling ampuh untuk dimajukan kepada masyarakat.

Persis seperti tulis Hitler dalam Mein Kampf: “Propaganda haruslah sentiasa berfungsi untuk orang ramai. Semua propaganda mesti dibentangkan dalam bentuk yang popular dan mesti ditetapkan tahap intelektualnya supaya tidak terlalu tinggi. Seni propaganda yang paling baik adalah yang dapat membangkitkan imaginasi orang ramai melalui rayuan terhadap perasaan mereka, dalam bentuk psikologi yang sesuai untuk menangkap perhatian dan merayu kepada hati rakyat jelata. Orang ramai bukan terdiri daripada diplomat atau profesor…”

Jadi, di sini dilemanya. Untuk anak muda, tidak ada yang baiknya dengan pencalonan Dr Mahathir ini. Walau ditayamum atau dihadas dengan sejuta propaganda ala-Goebbels oleh Hisham sekalipun, darah di tangannya tidak akan hilang.

Malah untuk anak muda, kleptokrasi, kronisme, nepotisme, rasuah-isme serta krisis budaya yang sedang kita hadapi hari ini lahir dari darah di tangan Dr Mahathir.

1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lahir begitu sahaja. Najib Razak bukan masuk politik 10 tahun lalu.

Malah kesalahan besar Dr Mahathir bukanlah dengan “meng-hijack” dan merosakkan Umno-Barisan Nasional (BN) semata-mata, lebih dari itu dialah kepala kepada krisis pemikiran anak muda hari ini.

Krisis pemikiran, budaya

Hari ini, berapa kerat anak muda Melayu yang memiliki kedai di KLCC? Ramainya anak muda hari ini berbangga dengan KLCC kerana dindingnya semata-mata.

Anak muda kita tidak memiliki kekayaan yang dimiliki oleh KLCC. Sama seperti litar Formula 1, yang khabarnya kini sudah tidak lagi mahu dijejak oleh perlumbaan antarabangsa tersebut. Jadilah Litar Sepang semata-mata bentuk, seperti bentuknya KLCC yang kita semua banggakan.

Kesalahan utama Dr Mahathir adalah pemikiran neo-liberal, logik pro-bisnes serta strategi-strategi ekonominya yang mewakili kelas elit. Dan oleh kerana itu, seperti kata WF Wertheim yang berasal dari Marx, ‘false consciousness’ atau kesedaran palsu atau seperti diujar Georg Lukacs; ‘bourgeois thinking’ yakni pemikiran borjuis oleh Dr Mahathir inilah yang telah menjadikan kita ini sejenis bangsa bentuk yang hilang makna.

Kita berbangga dengan bentuk Putrajaya tetapi kemudian kita terlupa jati diri kita, kita berbangga dengan Proton kemudian terlupa apakah yang sebenarnya membina kereta itu.

Anak muda hari ini sebenarnya masih belum jelas, apakah jatidiri kita sebenarnya? Apakah kedudukan bahasa kita? Apakah budaya bangsa kita sebenarnya? Apakah yang membina bangsa Malaysia hari ini?

Yang dimomokkan kepada kita sejak puluhan tahun yang lalu adalah Wawasan 2020, kereta terbang serta dasar pandang ke Timur yang satu pun tidak berjaya kita contohi. Jadi jenayah dan darah Dr Mahathir sebenarnya lebih kronik dan dahsyat daripada kegagalan PH itu sendiri.

Dan ketahuilah ketika para strategis mereka menggembleng tenaga semata-mata kerana terdesak untuk memenangi pilihan raya yang hampir pasti mereka kalah ini – anak muda hari ini bukan lagi seperti anak muda pada era keemasan Dr Mahathir menipu anak muda zaman itu dengan Wawasan 2020 beliau.

Jadilah perlawanan yang kita tonton hari ini sebenarnya adalah perlawanan elit melawan elit.

PH yang satu masa dahulu pernah mewakili masyarakat massa dengan menggunakan terma “Pakatan Rakyat” pada hari ini telah menjadi alat politikal kaum lapisan atas, seperti dihujahkan oleh Wertheim ketika merujuk Max Scheler yang mengatakan betapa ‘sesatnya cara fikir’ kaum upperdog (lapisan atas) terhadap underdog (lapisan bawah).

Counter-revolution

Jadi, tidak ada reformasi hari ini. Tidak ada revolusi hari ini. Tidak ada idea baru oleh pakatan politik. Hatta aktivis politik tersohor digelar pakar demonstrasi jalanan sekalipun hari ini sudah mati pucuk dan habis idea. Semua usaha, visi serta wawasan perlawanan yang kita harung selama 20 tahun yang lalu atas nama rakyat sudah hilang.

Semuanya sudah dibungkus dalam bentuk politik lama, iaitu politik Melayu, serta paling malang politik kalah-menang. Tidak wujud politik idea, tidak wujud politik pembebasan, tidak wujud politik pembangunan untuk anak muda.

Hatta untuk anak muda, bekerja untuk menjadi perdana menteri adalah satu jenis cita-cita jauh, serta impian yang takkan berlaku kerana kaum atasan, orang-orang “upperdog” yang mewakili elit masih menguasai cara fikir masyarakat.

Dan salah satu cara mereka membimbing kita semua, anak muda untuk membontoti mereka melalui cara fikir dan jalan mereka yang sesat itu adalah dengan melumpuhkan kolektif-kolektif massa anak muda dengan terang-terang menyatakan cara fikir kita semua salah.

Persis, pembonsaian pemikiran yang diperkenalkan kepada kita satu masa dahulu. Reformasi yang mereka laung 20 tahun dahulu sudah menjadi “counter-revolution”.

Boikot atau undi rosak?

Untuk anak muda hari ini, kita hanya berdepan dengan dua pilihan ekstrem. Kerana itulah kita tidak dibenarkan berselisih pendapat. Jika kita mengkritik calon perdana menteri PH yang berusia 92 tahun itu misalnya, kita akan dilabel pro-BN, macai Najib serta tidak mahukan perubahan.

Kata Mannheim, pemikiran bawah sedar orang ramai telah diserang dan diceroboh, sehingga akhirnya senjata ini menjadikan pemikiran kolektif masyarakat didorong oleh motivasi yang salah.

Misalnya hari ini, masyarakat diserang dengan kata-kata yang Malaysia akan musnah jika tidak diselamatkan oleh hero seksi 92 tahun mereka iaitu Dr Mahathir Mohamad.

Malangnya untuk kita anak muda, kita pernah survive dengan Umno-BN selama 60 tahun. Dan kita akan survive untuk empat tahun lagi.

Tetapi PH, dan semua ideologi palsu, serta propaganda Blitzkrieg mereka, akan musnah dan hancur lebur. Dan itulah manifesto pilihan raya kita kali ini! – The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here