KUALA LUMPUR, 11 Sept – Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memastikan pasaran wang dan pertukaran asing berfungsi dengan teratur.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, kadar pertukaran ringgit dipengaruhi oleh faktor global yang memberikan kesan kepada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi pengeluar komoditi.

Faktor berkenaan termasuk harga komoditi yang lebih rendah, kekukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), dan ketidakpastian dalam pasaran kewangan global.

Menurutnya, kadar pertukaran ringgit akan mencerminkan asas-asas ekonomi negara apabila ketidakpastian luaran dan dalam negeri menurun.

“Walaupun perkembangan global dan dalam negeri telah memberikan kesan kepada kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan domestik, keadaan mudah tunai domestik secara keseluruhan kekal stabil.

“Sistem kewangan kekal kukuh dengan pertumbuhan pembiayaan yang memuaskan. Oleh itu, pengantaraan kewangan telah terus menyokong ekonomi,” katanya.

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh permintaan komersial terhadap unit tempatan itu.

Pada 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.3150/3200 berbanding dolar AS daripada 4.3340/3400 pada Khamis.

Terdahulu, semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, BNM memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus memandangkan pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

Bank pusat itu menaikkan OPR pada Julai 2014 kepada 3.25 peratus, selepas mengekalkannya pada tiga peratus sejak 2011.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here