TAKLIMAT Pemukiman Jentera Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di ibu negara beberapa hari lalu memperlihatkan hasrat parti pemerintah dan perdana menteri sendiri, YAB Dato’ Sri Najib Razak untuk kembali menguasai pentadbiran negara dengan majoriti dua per tiga dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.

Antara perubahan yang dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut termasuklah menggesa parti komponen agar tidak lagi terikat dengan status quo kerusi tradisi masing-masing. Cadangan ini agak rasional dan baik dengan mengambil kira faktor dan iklim politik tanahair yang sentiasa dinamik. Walau bagaimanapun, hasrat BN dalam menggapai sasaran majoriti dua per tiga itu bukan kerja mudah. Bahkan ia perlulah dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas dengan mengambil kira beberapa petunjuk yang semakin jelas.

Prestasi Buruk BN

Sejak PRU ke-12 pada 2008, BN mengalami kemerosotan prestasi yang agak teruk dengan tsunami politik yang berlaku sejak waktu itu nampaknya masih berbekas sehingga sekarang. Tanpa undi rakyat dari Sabah dan Sarawak, BN mungkin sahaja berada di kerusi pembangkang pasca PRU yang lalu. Daripada 222 kerusi parlimen, BN ketika ini menguasai sejumlah 132 kerusi dengan 47 daripadanya adalah di Sabah dan Sarawak. Ini bermakna BN hanya menguasai 85 kerusi parlimen di Semenanjung daripada 165 kerusi yang ada, satu kelebihan yang sangat tipis berbanding jumlah kerusi yang diraih pembangkang.

Dengan pelbagai isu yang membelenggu rakyat pada hari ini, adakah hasrat BN untuk kembali menguasai majoriti dua per tiga kerusi parlimen itu tampak realistik? Terus terang, ini bukannya masa untuk BN berkhayal ataupun boleh syok sendiri. Mungkin pencapaian ekonomi negara yang semakin baik boleh menyedapkan hati. Mungkin juga pelbagai inisiatif yang diilhamkan untuk kebajikan rakyat seperti projek perumahan mampu milik umpamanya boleh membuatkan kem BN sedikit tersenyum lega dengan menyangkakan persepsi rakyat yang semakin positif terhadap kepimpinan negara.

Bangun dan Berhenti Berkhayal

Hakikatnya, walau sehebat mana pun pencapaian ekonomi negara yang dicanang dan disebut-sebut, rakyat terbanyak di bawah tidak pernah terlalu peduli kerana kebanyakan daripada mereka terus bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang membebankan. Mereka mungkin sudah tidak ambil kisah lagi mengenai isu 1MDB kerana tiadanya kesan langsung terhadap kehidupan mereka, tetapi mereka amat memandang berat tentang bagaimana mereka ingin meneruskan kelangsungan hidup.

Kita bercakap mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemansuhan subsidi beberapa barangan keperluan dan juga faktor ringgit yang lemah yang kesemuanya membuatkan rakyat terus terkesan. Lihat sahaja tempoh masa 10 tahun ke belakang, kita akan dapati terdapatnya jurang yang sangat besar antara kenaikan pendapatan yang sangat rendah dalam kalangan rakyat terbanyak dengan kenaikan harga barangan dan aset yang mendadak dan ‘melampau’. Ini tentulah bukan petunjuk yang baik.

Menimbang hakikat ini, bagaimana mungkin kita melihat negara ini mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam masa terdekat? Tanpa sebarang usaha konkrit menangani masalah ini, eloklah BN berhenti dahulu bermimpi untuk mendapatkan kembali majoriti dua per tiga yang diidamkan sangat.

Undi Melayu Sebagai Talian Hayat

Mendepani cabaran PRU yang bakal tiba, BN ataupun UMNO khususnya perlu sedar mereka sudah kehilangan majoriti undi bukan Melayu terutamanya di Semenanjung. MCA, Gerakan, MIC dan MyPPP pula sudah tidak lagi boleh diharapkan sepenuhnya untuk merebut kembali sokongan orang bukan Melayu. Apatah lagi dengan pendirian tegas UMNO dan PAS umpamanya dalam beberapa isu sosial yang berbangkit baru-baru ini, tidak lah keterlaluan jika disimpulkan bahawa kebanyakan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina sudah pun membulatkan tekad untuk tidak mengundi baik BN mahupun PAS pada PRU kelak.

Daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung, sebanyak kira-kira 47 daripadanya mempunyai majoriti pengundi Melayu yang kecil dengan jumlah bukan Melayu membentuk lebih daripada 30 peratus. Pada waktu ini, undi Melayu sudah pun berpecah kepada tiga iaitu antara BN, PAS atau Pakatan Harapan (PH). Atas faktor tersebut, peluang UMNO ataupun BN untuk memenangi semula kerusi-kerusi ini amatlah tipis melainkan PAS menyertai perikatan itu, sesuatu yang juga tampak amat mustahil pada waktu ini. Beberapa kerusi bandar yang mempunyai jumlah bukan Melayu yang besar seperti di Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor kini tampak seakan mudah dikuasai PH melalui DAP ataupun PKR menjelang PRU kelak.

Maka BN dan UMNO tampak tiada pilihan pada waktu ini melainkan mendapatkan sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu. Itu pun bukannya kerja mudah kerana hakikatnya pengundi Melayu itu sendiri sudah terpisah secara demografi kepada tiga kawasan: luar bandar, separa bandar dan bandar. Pada PRU yang lalu, BN menang 66 daripada 81 kerusi luar bandar, 14 daripada 44 kerusi separa bandar dan hanya lima daripada 40 kerusi bandar di Semenanjung.

UMNO Jaguh Kampung?

Teori yang terhasil daripada hakikat ini sangat mudah. UMNO perlu berusaha keras untuk mempertahankan kelebihan mereka di kawasan-kawasan luar bandar terutamanya di kawasan-kawasan Felda jika mereka benar-benar serius untuk setidak-tidaknya mengekalkan status quo di Parlimen. Daripada 81 kerusi luar bandar yang dipertandingkan pada PRU yang lalu, 54 daripadanya adalah kerusi Felda dengan enam daripadanya sudah digenggam Pakatan Harapan (PH). Jelas, pengaruh parti pemerintah di kawasan kampung juga sudah mula dicabar.

Situasi ini juga bermakna samada suka atau tidak, UMNO hanya boleh melihat diri mereka sebagai jaguh kampung. Dan malangnya, status itu tampak boleh sahaja terus digugat dengan PH sedang giat menembusi kubu-kubu kuat UMNO/BN pada waktu ini. Mendepani PRU yang akan datang, UMNO dan BN tentunya tidak mahu tewas di kawasan-kawasan kampung ataupun luar bandar kerana kalahnya mereka di kampung bererti tumbanglah mereka di Semenanjung.

Sabah dan Sarawak pula mungkin sehingga kini masih lagi menjadi ‘simpanan selamat’ untuk BN terus memerintah negara, tetapi pengaruh pembangkang terutamanya Parti Warisan Sabah pimpinan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal jangan dipandang sebelah mata. Hakikatnya pengaruh pembangkang di kedua-dua negeri itu bukannya semakin berkurang.

Langkah BN Mendepani PRU

Justeru, dalam masa yang semakin terhad, pilihan yang ada untuk BN tidak banyak. Dalam iklim politik etnik semasa di Malaysia, BN perlu fokus untuk terus mendapatkan undi Melayu di Semenanjung selain terus memperkasakan penguasaan mereka di Sabah dan Sarawak. Melihat kepada realiti politik yang ada, misi BN untuk mendapatkan majoriti dua per tiga di Parlimen tampak mustahil, setidak-tidaknya buat masa ini. Kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti mudah pasca PRU kelak sudah pun boleh dianggap cukup baik, tetapi ianya perlulah didahului dengan perubahan yang serius di mata rakyat.

BN dan UMNO sendiri perlu mengetengahkan muka-muka baru menjelang PRU kelak. Rakyat letih melihat muka yang sama sahaja dicalonkan setiap kali menjelang PRU, apatah lagi dilantik mengetuai agensi-agensi berkaitan kerajaan seolah-olah BN sendiri sudah mahu ‘pencen’, hampir ‘pupus’ dan ketandusan pemimpin yang berkelayakan. BN juga perlu keluar daripada perbalahan dalaman antara komponen terutamanya dalam urusan pembahagian kerusi. Toleransi sesama mereka dalam hal ini mungkin sahaja mampu merebut setidak-tidaknya sedikit undi yang sebelum ini pergi kepada pembangkang kerana pada hakikatnya, faktor personaliti seseorang calon juga adakalanya mempengaruhi undi terhadap parti.

Akhirnya, BN perlu tampil dengan tawaran mereka yang lebih konkrit untuk menyelesaikan masalah rakyat. Pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri esok amat ditunggu-tunggu dengan hampir kesemua rakyat mengharapkan isu kenaikan kos sara hidup ditangani sesegera mungkin. Kejayaan kerajaan menzahirkan bajet yang membantu meringankan beban rakyat dalam hal ini akhirnya akan membawa imej yang lebih positif kepada BN sendiri, lantas setidak-tidaknya memberikan sedikit kelebihan untuk mempertahankan penguasaan mereka pada PRU kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here