TARIKH 9 Mei 2018 telah pun menjadi satu sejarah baharu buat rakyat Malaysia.

Majoriti rakyat telah memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baharu dan menjadikan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 61 tahun sebagai pembangkang.

Ini pastinya buat kali pertama dalam sejarah negara, BN menjadi pembangkang.

Buat pertama kali dalam sejarah negara juga, Perdana Menteri sebelum ini mengangkat sumpah kali kedua sebagai Perdana Menteri.

Kini, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun dipilih dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

Keputusan telah pun dibuat, apa yang perlu dibuat oleh BN selepas ini?

BN bukan lagi parti pemerintah dan kini sudah menjadi pembangkang di Malaysia.

Negeri yang ditadbir BN juga berkurangan pada PRU-14 kali ini yang menyaksikan kejutan berlaku di negeri di Pantai Barat.

Johor, Melaka dan Negeri Sembilan jatuh ke tangan PH selain PH mengekalkan pentadbiran di negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Tidak cukup dengan itu, BN gagal mempertahankan Terengganu yang jatuh ke tangan PAS selain gagal merampas Kelantan yang kekal dikuasai PAS.

BN juga hilang kerajaan negeri Kedah yang pada PRU-14 kali ini dikuasai oleh PAS dan PH.

Apakah maksudnya daripada keputusan yang diputuskan oleh rakyat itu?

Itu membawa gambaran jelas yang mana BN khususnya UMNO perlu melakukan perubahan secara keseluruhannya.

Perubahan apakah yang perlu dilakukan oleh BN dan UMNO selepas ini?

Mesej rakyat kali ini terutama orang muda begitu jelas sekali. Mereka inginkan perubahan kepada BN dan UMNO.

BN dan UMNO perlu melakukan post mortem secara besar-besaran bagi mengkaji kenapa parti itu ditolak pada PRU-14.

Perkara itu perlu segera dilakukan oleh BN dan jangan tunggu apabila hendak PRU akan datang baharu ia hendak dilakukan.

Dalam jangka masa lima tahun ini, BN perlu menjadi pembangkang yang berani menyerang dengan fakta, bukan dengan fitnah.

Langkah ini penting supaya kerajaan Pakatan Harapan diterajui Mahathir dapat disemak dan imbang (check and balance).

Kepada Pakatan Harapan, tahniah atas kemenangan yang diperoleh.

Usah memberi alasan yang menyalahkan kerajaan terdahulu untuk menidakkan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.

Rakyat sedang mengadili. Semoga menjadi kerajaan yang telus serta memberi kemakmuran rakyat dan negara.

Adakah PH akan menyambung apakah kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yakni BN untuk kepentingan rakyat dan kemajuan negara?

Kepada penyokong BN, marilah menerima takdir dan bersangka baik untuk kemajuan bersama.

Jika sebaliknya, gunalah suara dan hak yang diberikan melalui saluran yang betul dan secara rasional, bukan emosional.

Kepada BN, jadilah pembangkang yang berhemah dan segera membaiki kesilapan lalu.

Usahlah disalahkan pihak lain termasuk rakyat. BN perlu berubah jika mahu mendapatkan kepercayaan rakyat pada masa akan datang.

Kepada BN, selamat menjadi pembangkang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here