Pakatan Harapan

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli semasa satu siri ceramah yang diadakan di Johor Bahru telah memaklumkan dengan yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai potensi besar untuk menang di 50 kawasan Parlimen pada pilihan raya umum yang akan datang. 50 kerusi ini termasuk kerusi di mana pembangkang tewas tipis dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Dalam laporan yang disiarkan BERNAMA itu, Rafizi menyenaraikan beberapa kawasan di Negeri Johor sebagai prospek penting pembangkang termasuk Johor Bahru, Pasir Gudang, Labis, Segamat, Pulai dan beberapa kawasan lain lagi. Rafizi yang dianggap sebagai strategis dalam PH dan sentiasa hadir dengan pendedahan-pendedahan mengejutkan sudah tentu sedang mengatur langkah penting untuk memberikan rasa cemas kepada Kerajaan.

Sewajarnya Kerajaan perlu berwaspada dengan kenyataan yang diberikan Rafizi ini atas beberapa sebab termasuklah pembentukan PH yang turut melibatkan parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Kehadiran BERSATU dalam PH sudah tentu bertujuan untuk mengumpul semula sokongan golongan Melayu khasnya di luar bandar, selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) meninggalkan gabungan pembangkang sebelum ini.

BERSATU yang dibarisi beberapa muka penting dalam politik Melayu seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah tentu mempunyai keupayaan untuk memberikan saingan kepada UMNO di kawasan Melayu luar bandar. Pengaruh Muhyiddin misalnya amat penting bagi memastikan beberapa kubu kuat UMNO dapat dirampas. Dua negeri yang kini menjadi milik Barisan Nasional (BN) dan sudah tentu bakal menyaksikan saingan sengit ialah Johor dan Kedah.

Keyakinan UMNO-BN untuk mempertahankan kedua-dua negeri ini perlu berasaskan kepada laporan pemantauan di peringkat akar umbi yang tepat dan YAB Perdana Menteri harus diberi gambaran sebenar untuk merangka strategi kemenangan yang lebih baik bagi memastikan kedua-dua negeri utama BN ini tidak terlepas ke tangan pembangkang.

Selain itu, pengumuman Rafizi ini boleh dinilai sebagai satu usaha asakan baru dari pihak pembangkang untuk menambah kegusaran di peringkat Kerajaan apabila kini isu 1MDB dilihat sedang dimanipulasi secara habis-habisan. Pada ketika ini, pembangkang memainkan isu 1MDB di kawasan-kawasan bandar dan tidak lama lagi isu ini akan dibentuk dalam penjelasan lebih mudah dan satu siri jelajah besar-besaran akan digerakkan ke kawasan luar bandar untuk pembangkang memastikan isu ini sampai dan difahami.

Kerajaan tidak boleh berdiam diri dengan pengumuman seperti ini dan keyakinan di pihak Kerajaan juga perlu kukuh dan memiliki asas sewajarnya bagi mengelakkan kisah di beberapa kawasan Parlimen jatuh ke tangan pembangkang berulang lagi di pilihan raya umum akan datang. Tugas Kerajaan selain daripada mengekalkan penguasaan besar di kawasan luar bandar, Kerajaan juga perlu menumpukan usaha memenangi hati pengundi bandar. Siri jelajah yang bersesuaian dengan isu semasa perlu dibawakan dengan lebih terbuka dan Kerajaan perlu dilihat sedang melalui proses kematangan untuk mendengar suara rakyat.

Di pihak pembangkang apa yang diungkapkan oleh Rafizi itu boleh dilihat sebagai satu permainan psikologi dan tidak membawa apa-apa makna, namun dalam percaturan politik yang kian hangat, Kerajaan harus memiliki pendirian dan matlamat jelas untuk mencapai kecemerlangan dan kemenangan besar Kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang jelas bergantung kepada cara Kerajaan menangani dan menjelaskan isu yang timbul dan perkara ini boleh dilaksanakan dengan baik jika maklumat telus di peringkat bawahan disalurkan kepada kepimpinan Kerajaan bagi memastikan strategi dan keputusan yang baik dapat diaturkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here