KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah banyak membantu masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang. Beliau berkata, ini berbeza dengan pembangkang yang hanya menindas masyarakat luar bandar dengan tidak menyokong pembangunan di kawasan itu seperti mana yang diperjuangkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. “Masyarakat di kawasan luar bandar tahu siapa musuh politik mereka dan tahu bahawa pembangkang tidak mesra kepada mereka, apabila pilihan raya datang, mereka ini akan sokong BN,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Agro Bank cawangan Kota Samarahan yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini hari ini. Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak berkata, penduduk di luar bandar juga ingin menikmati pembangunan yang sama diperoleh masyarakat di bandar. Beliau berkata, adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar. Justeru, beliau menyeru kepada institusi kewangan untuk turut sama membantu masyarakat luar bandar membiayai projek pembangunan mereka. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here