KETIKA ini hangat diperkatakan mengenai hasrat penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Persoalannya, sejauh manakah dakwaan itu benar?

Dikatakan, tindakan Kit Siang yang terus bertahan selama 50 tahun sebagai ahli politik menunjukkan cita-cita besarnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah, dalam merealisasikan impiannya itu, Kit Siang bertindak memperalatkan pemimpin berpengaruh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Semua orang sudah bercakap sekarang kalau bukan Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri, Kit Siang sebenarnya individu yang mahu menjadi Perdana Menteri kalau Pakatan Harapan menang PRU-14.

Jadi kalau orang sudah bercakap mengenainya, adakah Kit Siang akan menafikannya?

Atau Kit Siang akan terus berdolak dalik dalam isu berkenaan.

Jika benar Kit Siang tidak mahukan jawatan itu, buat kenyataan secara terbuka mengenainya.

Jika dilihat kepada tindak tanduk pemimpin veteran DAP itu, adalah mustahil bagi Kit Siang menolak jawatan berkenaan berdasarkan penglibatannya yang begitu lama dalam politik serta bersandarkan jumlah kerusi DAP yang tertinggi dalam Pakatan Harapan iaitu sebanyak 38 kerusi.

Bagaimanapun, hasrat Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri dengan memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang tidak akan berhasil sekiranya tidak mendapat sokongan orang Melayu.

Justeru dipercayai Kit Siang akan terus berusaha mendapatkan sokongan Melayu dengan pelbagai cara termasuklah memperkudakan pemimpin-pemimpin Melayu yang berpengaruh.

Turut didakwa, Deklarasi Setapak 1967 membuktikan Kit Siang sudah lama memasang impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Antara 15 perkara dalam deklarasi itu termasuk menolak bumiputera di negara ini dengan melaksanakan kebebasan, demokratik dan sosialis berdasarkan prinsip kesamarataan kaum serta keadilan sosial dan ekonomi.

Apabila Deklarasi Setapak diumumkan, dapat dilihat perancangan DAP selama ini adalah untuk menolak bumiputera selain merancang mahu menjadikan pemimpin bukan bumiputera sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya mentadbir negara.

Tambahan pula, kita lihat perjuangan Kit Siang yang begitu panjang dalam politik termasuk bersama DAP hampir 50 tahun selain menjadi Ahli Parlimen paling lama iaitu sejak berumur 28 tahun.

Mengapa hingga kini Kit Siang enggan bersara daripada politik?

Adakah perkara itu mungkin ada kaitan dengan cita-cita Kit Siang yang belum kesampaian, untuk menjadi Perdana Menteri?

Jika tidak menjadi Perdana Menteri pun, sekurang-kurangnya memberi laluan kepada anaknya, Guan Eng untuk menjawat jawatan berkenaan.

Baru-baru ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Jawi, Tan Beng Huat, mengakui sikap Kit Siang dan anaknya, Guan Eng sebagai punca beliau meninggalkan parti yang disertainya lebih 10 tahun lalu.

Beng Huat yang berkhidmat sebagai ADUN selama satu penggal mulai 2008 berkata, beliau melihat Kit Siang cuba membina ‘dinasti keluarga’ dalam parti itu sehingga timbul pelbagai isu dan masalah.

Bekas ADUN DAP itu juga mendakwa, terdapat ‘cakap-cakap’di dalam DAP bahawa Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan berniat demikian.

Turut difahamkan, Kit Siang pernah memasang impian untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi Agenda Tanjong III yang diilhamkannya pada 1986.

Benarkah apabila Agenda Tanjong III yang dibawanya gagal, Kit Siang meninggalkan Pulau Pinang dan membawa masuk anaknya untuk dijadikan Ketua Menteri?

Jika dilihat, tidak mustahil perkara sama akan dilakukan Kit Siang di peringkat Pusat.

Jika tidak, mengapa Kit Siang sanggup membelakangkan prinsipnya dan bekerjasama dengan Mahathir?

Mereka bekerjasama sedangkan umum tahu kedua-dua individu itu adalah musuh ketat politik sebelum ini. Malah kerjasama itu juga tidak boleh diterima kebanyakan ahli DAP.

Maka, benarlah kerjasama itu demi menjayakan cita-cita Kit Siang untuk jawatan Perdana Menteri?

Jawapannya hanya ada di tangan veteran DAP itu sendiri.

Kini dinantikan, adakah Kit Siang akan menafikannya. Jika tidak, banarlah dakwaan berkenaan.

Adakah rakyat mahu pemimpin seperti Kit Siang menjadi Perdana Menteri?

Tepuk dada, tanyalah selera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here