KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat empat laman web yang menyebar maklumat program perhimpunan haram Bersih 4, setakat 6 petang ini. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, berkata empat laman web berkenaan ialah http://bersih.org, http://globalbersih.org, http://www.bersih.org dan http://www.globalbersih.org. “Setakat ini saya dimaklumkan bahawa empat laman web telah disekat,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi di sini, hari ini.

SKMM, dalam kenyataan semalam, menegaskan akan menyekat laman web dan portal berita yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram itu kerana menyifatkan perbuatan itu boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

Menurut Salleh, SKMM kini sedang memantau portal-portal berita bagi memastikan tiada kesalahan sama. “Setakat ini belum ada portal berita yang mempromosikan perhimpunan haram ini…cuma melaporkan saja, jadi belum ada pelanggaran undang-undang lagi…tiada sebab pengendali berita portal risau,” katanya. Cubaan BERNAMA untuk mengakses keempat-empat laman web itu setakat 6 petang tadi menyatakan ‘server error’ dengan maklumat bahawa sumber yang dicari mungkin telah dikeluarkan, mempunyai namanya ditukar, atau tergendala buat sementara waktu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here