KUCHING – Perhimpunan Bersih 4 di Kuching terpaksa ditamatkan sehari lebih awal daripada dua hari yang dijadualkan berikutan tiga sebab.

Jurucakapnya Karen Sheperd bagaimanapun, berkata beliau dan penganjur lain percaya perhimpunan itu telah mencapai kejayaan.

“Perhimpunan ini menjadi platform bagi rakyat biasa untuk bersuara kepada ahli politik untuk memberitahu tentang perasaan mereka dan kebimbangan terhadap banyak isu, dan tidak banyak bagi ahli politik untuk bercakap dengan orang ramai.

“Penceramah kami termasuk aktivis tulen dan pemimpin daripada badan bukan kerajaan,” katanya hari ini.

“Secara keseluruhannya, kami berpendapat acara ini adalah contoh terbaik bagi kebebasan bersuara,” katanya.

Namun malangnya, beliau berkata perhimpunan itu terpaksa ditamatkan secara tiba-tiba kerana kebimbangan yang memuncak terhadap keselamatan awam.

“Kami terpaksa menghentikannya kerana gangguan daripada satu kumpulan yang ekstrem. Orang ramai juga pada masa itu, mula membawa anak kecil ke perhimpunan yang bertentangan dengan undang-undang selain menghadapi masalah dengan sistem pembesar suara,” katanya.

Beliau berkata artikel yang ditulis oleh seorang penulis blog yang kemudian diambil oleh beberapa wartawan akhbar, juga menyebabkan pergeseran antara kumpulan penganjur dan pemimpin daripada DAP.

“Pemimpin DAP seharusnya menyemak fakta mereka dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap kami,” katanya.

Beliau mendakwa ramai peserta mahu hadir pada hari kedua perhimpunan itu, dan banyak mesej berbentuk kekecewaan dipaparkan dalam media sosial apabila perhimpunan dihentikan tiba-tiba.

Sementara itu, Karen mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, polis terutama Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan kerana bersikap profesional terhadap perhimpunan tersebut.

Mengenai mesyuarat dengan polis hari ini, beliau berkata polis sedang menyiasat empat laporan yang dibuat terhadapnya.

Berhubung laporan akhbar sekumpulan penduduk kampung diperdayakan untuk menyertai perhimpunan selepas dijanjikan untuk dibawa melawat bandar raya itu, Karen berkata beliau tidak mengetahuinya, sambil menegaskan beliau dan kumpulannya tidak pernah memaksa orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here