Langkah pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya ditempelak oleh anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ketua Pemuda PPBM Pahang, Raja Mohd Azlan Raja Omar bantah tindakan itu dilihat seolah-olah menggambarkan pembangkang tidak lagi mempunyai calon yang berkaliber untuk menyandang jawatan nombor satu negara.

“Kita akui ketokohan Tun M selama ini, namun zaman kini bukan masa yang sesuai untuk beliau menjadi perdana menteri lagi, kita perlu orang muda dan konsisten dalam pentadbiran.

“Jika asyik bertukar (perdana menteri) sahaja, bila negara kita nak maju. Saya setuju dengan pendapat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (seorang lagi pemimpin muda PPBM) bahawa sepatutnya 30 peratus tampuk kepimpinan parti diserahkan kepada orang muda,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya apa yang disuarakan itu adalah pendapat peribadinya memandangkan ada ura-ura bahawa jawatan yang disandang itu telah digantikan dengan orang lain berikutan kelantangannya mengkritik beberapa dasar parti.

Dalam pada itu beliau tidak menafikan berlaku perpecahan di kalangan angkatan Pemuda PPBM di negeri ini dan hanya lapan bahagian sahaja yang kini benar-benar aktif dalam melakukan aktiviti.

Sementara itu Pemangku Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Sharipul Fairuz Mohd Sharip sependapat dengan Raja Mohd Azlan bahawa gandingan Dr Mahathir-Dr Wan Azizah itu bakal dilanda masalah.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here