Parti Bersatu Negeri Sembilan mendesak supaya pucuk tertinggi pimpinan Pakatan Harapan membuka semula rundingan pembahagian kerusi Dun di negeri ini.

Ketua Pimpinan Bersatu Negeri, Baharuddin Ahmad berkata rundingan tersebut perlu melihat kepada  ketegasan Bersatu yang ingin menambah empat lagi kerusi Dun untuk mereka bertanding pada PRU14 nanti.

Katanya, perbincangan tersebut penting bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan dapat dicapai.

“Kami menuntut supaya pucuk pimpinan mendengar suara dan kehendak Bersatu Negeri Sembilan serta membuka rundingan semula pembahagian kerusi Dun di negeri ini.

“Kami mendesak untuk menambah empat lagi kerusi Dun iaitu Linggi, Ampangan, Paroi dan Labu, yang mana kami yakin boleh menang jika calon Bersatu diletakkan di kawasan itu, namun sayangnya ia diberi kepada Amanah dan PKR.

“Sebelum ini kami telah melakukan gerak kerja serta mendekati masyarakat setempat kawasan berkenaan, namun maklum balas yang diterima, mereka menolak calon PKR dan Amanah tetapi, akan menyokong calon Bersatu pada PRU14 nanti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan Badan Pimpinan Bersatu negeri, Baharudin Abu Bakar dan Ketua Pemuda Bersatu negeri, Mohd. Shahrul Anuar Abu Samah.

Mengulas lanjut Baharudin berkata, pucuk pimpinan tidak pernah membuka ruang untuk mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi DUN di negeri ini sebaliknya keputusan dibuat tanpa pengetahuan mereka.

Sementara itu Mohd. Shahrul Anuar berkata, pihaknya  akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) minggu hadapan bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan parti berkenaan yang melanggar Perlembagaan parti berkenaan seperti dilapor media baru-baru ini.

“Jika penjelasan yang diperoleh menunjukkan permasalahan ini berpunca dari kelemahan pengurusan parti, maka kami mahu kepimpinan tertinggi Bersatu bertanggungjawab dan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, pada 28 Januari lalu segelintir ahli Bersatu membuat kecoh di Konvensyen Pakatan Harapan kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Dun untuk PRU14 ini.

Suasana yang sebelum ini tenang bertukar ‘panas’ apabila lebih 50 ahli Bersatu menjerit berteriak tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang diumumkan pada konvensyen tersebut.

Pada konvensyen tersebut, Bersatu telah diberi enam kerusi Dun (Palong, Seri Menanti, Chembong, Gemencheh, Pertang dan Bagan Pinang, berserta satu Parlimen di Jempol.

Manakala PKR menerima 12 kerusi Dun, DAP (11) kerusi dan Amanah (7).

Berkaitan:

Negeri Sembilan PH Convention Descends into Chaos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here