Senarai 56 kerusi itu yang didakwa adalah muktamad antara Bersatu, PKR, Amanah dan DAP.

Parti Bersatu yang belum pernah diuji dari mana-mana pilihan raya diberikan mandat besar sekali gus mendominasi 18 kerusi Dun Johor.

Antara Dun yang bakal ditandingi ialah Jorak, Sri Medan, Benut, Kempas, Tanjung Puteri, Parit Raja, Permas, Puteri Wangsa, Tenang dan Endau.

DAP yang sebelum ini merekodkan kecemerlangan dalam kalangan pembangkang pada PRU lalu dengan kemenangan 13 kerusi Dun diberikan 14 kerusi yang dikekalkan di kawasan bertanding sebelum ini.

Antaranya, Pekan Nenas, Senai, Johor Jaya, Pengkalan Rinting, Skudai, Penggaram, Bentayan, Mengkibol, Paloh, Yong Peng, Bekok dan Stulang.

Manakala PKR dan Amanah diberikan 12 kerusi setiap parti di mana Dun Bukit Batu dikekalkan milik PKR selain pertukaran tiga kerusi baharu iaitu Sungai Balang, Rengit dan Tiram.

Amanah diberikan kerusi Parit Yaani, Sungai Abong, Maharani, Serom, Kukup, Kemelah, Mahkota, Nusajaya dan Pulai Sebatang.

Mengulas lanjut, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan menganggap pengagihan 12 kerusi itu satu kejayaan selaku parti baharu.

“Kalau bahagi empat pun, kita dapat 14 tetapi 12 kerusi juga sudah cukup baik apabila dapat mengekalkan tiga dari empat kerusi yang sebelum ini ditandingi atas tiket Pas.

“Kita akui agak sedih apabila tidak dapat bertanding di kerusi di Puteri Wangsa, Permas dan Tenang, namun agihan ini dilakukan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR, Jimmy Puah mengesahkan senarai pembahagian itu yang dimuktamadkan pada 18 Januari lalu.

“Kita terima pengagihan ini meskipun ada kerusi ditukarkan namun senarai kawasan PKR bertanding dikekalkan 12 kerusi.

“Bagaimanapun senarai ini hanyalah persetujuan rundingan Pakatan Harapan negeri di mana senarai rasmi hanya akan diputuskan Majlis Presiden,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here