TEKA teki serta kemelut calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang terjawab apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad diumumkan bakal dilantik menduduki jawatan itu jika mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam, Selangor.

Selain Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, turut diumumkan Presiden gabungan pembangkang itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Cerita mengenai siapa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan bukan baharu tetapi bertahun lamanya.

Berikut merupakan kronologinya:

*Pada 12 November 2016, PAN minta dinamakan segera calon Perdana Menteri sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.

*Pada 15 Disember 2016, Nurul Izzah memaklumkam perlu buat mesyuarat khas pilih calon Perdana Menteri.

*16 Disember 2016, Lim Kit Siang memaklumkan Mat Sabu setuju pilih Wan Azizah bakal Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

*20 Disember 2016, Saifuddin menyanggah kenyataan Kit Siang dengan berkata Pakatan Harapan tidak bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

*21 Disember 2016, Rafizi Ramli meminta berhenti memainkan isu siapa hendak jadi Perdana Menteri kerana Anwar marah dari penjara.

*22 Disember 2016, Mahathir mencadang Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Tidak ada siapa yang sokong cadangan Mahathir.

*Anthony Loke berkata, DAP pernah cadang Anwar jadi Perdana Menteri.

*Datuk Zaid Ibrahim pula pada 9 Mei 2017 cadang Mahathir jadi Perdana Menteri. Sehari selepas itu, Datuk Seri Azmin Ali tidak setuju Mahathir jadi Perdana Menteri.

*21 Mei 2017, dalam Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, semua pemimpin pembangkang angkat plakad bertulis “Anwar PM ke 7”.

*Hanya Mahathir seorang tidak angkat plakad tersebut.

*Sehari sebelum itu, Nik Nazmi menyatakan Wan Azizah adalah calon paling layak untuk jadi Perdana Menteri sementara.

*Pada 24 Mei 2017, Sallehudin Ayub pula menyatakan Mat Sabu juga layak menjadi Perdana Menteri.

*Pada Disember 2017, Biro Politik PKR, bersetuju pula dengan syarat untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara.

*Selepas itu, PKR tidak setuju pula Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri sementara.

*Pada 7 Januari 2018, Pakatan Harapan bersetuju Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Wan Azizah sebagai timbalannya.

Jika melihat kepada kronologi itu, pelbagai permasalahan timbul sebelum calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dimuktamadkan.

Persoalannya, adakah keputusan itu akan kekal sehingga PRU-14?

Satu lagi persoalan, adakah Anwar bersetuju dengan keputusan itu?

Ternyata Mahathir menghampiri cita-citanya untuk sekali lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.

Selain Mahathir, umum pasti mengetahui, Anwar sejak dari dahulu lagi mengidamkan jawatan Perdana Menteri.

Anwar pernah menegaskan bahawa beliau tetap akan menjadi Perdana Menteri biar pun dipenjarakan atas tuduhan meliwat.

Dalam wawancara dengan portal berita Malaysiakini sebelum ini, Anwar berkata, pembangkang akan melantik seorang ‘Perdana Menteri sementara’ jika mereka berjaya membentuk kerajaan ketika beliau menjalani hukuman nanti.

Adakah Mahathir akan jadi Perdana Menteri sementara dan selepas itu menyerahkan jawatan kepada Anwar apabila Anwar dibebaskan?

Anwar atau Mahathir bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Mereka berdua sudah pernah menjadi orang nombor satu dan nombor dua, masa mereka sudah berlalu.

Malaysia tidak boleh dikembalikan semula ke masa silam. Malaysia harus bergerak ke masa depan dan untuk generasi akan datang.

Bukan untuk generasi lepas, kroni dan anak sendiri pemimpin yang terdahulu.

Oleh itu, berebutlah macam mana pun, akhirnya tidak ada sesiapa pun dari pembangkang yang akan jadi Perdana Menteri. Cita cita peribadi Anwar atau Mahathir pasti tidak akan berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here