Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa media menghentikan amalan mengampu pemimpin kerajaan dengan menerbitkan berita indah tentang mereka, sebaliknya memintanya memandang serius peranan menyediakan semak dan imbang dalam negara ini.

“Cara media mengampulah maka pemimpin rosak,” katanya dalam ceramah di Seberang Jaya malam semalam.

“Memang baru-baru ini rasa sangat gembira semua sokong Pakatan Harapan tapi setelah keadaan reda media berhak menegur dan mengkritik kerajaan negeri dan persekutuan PH.”

Beliau berkata ahli politik juga perlu menerima kritikan dan tidak menghentam media kerananya.

Anwar berkata beberapa contoh bagaimana media sebelum ini mengampu pemimpin ialah dengan secara palsu bercakap besar tentang isu seperti pendidikan dan ekonomi.

“Pemimpin terbaik di dunia. Ekonomi terbaik di dunia. Pendidikan? Terbaik di dunia. Kesihatan? Terbaik di dunia. Pertanian? Terbaik di dunia. Kilang? Terbaik di dunia. Gaji? Terbaik di dunia.

“Haprak, penipu semuanya. Sebab itu kita mesti terima kenyataan… media seperti mana suara rakyat harus bebas untuk memberikan pandangan dan teguran dan pemimpin tidak harus bertindak melenting seperti pemimpin Umno,” kata beliau.

Dr M tawar jawatan

Anwar juga berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkannya jawatan dalam kerajaan tetapi beliau menolak bagi memberi perdana menteri baru itu masa untuk membetulkan isu penting negara.

Beliau berkata, dalam 2 perjumpaan panjang sebelum ini, satu ketika di hospital dan kedua di pejabat Dr Mahathir minggu lepas, perdana menteri bertanyakan sama ada beliau mahukan apa-apa jawatan tetapi beliau menolaknya kerana mahu memberi ruang kepada pemimpin itu memulakan agenda perubahan dalam negara.

“Rakyat juga boleh menerima beliau mengetuai perubahan itu. Alhamdulillah,” katanya.

Anwar yang dibebaskan 15 Mei lalu selepas 3 tahun dipenjara berkata, buat masa sekarang beliau mahu menjelajah ke seluruh negara untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas sokongan mereka.

“Paling tidak saya mahu meluangkan masa dengan keluarga dan menulis,” tambahnya.

Beliau juga menggesa penyokong memaafkan kesalahan lampau Dr Mahathir dan memberi kepercayaan kepada pengerusi PH itu untuk membina semula negara.

Katanya beliau sendiri memaafkan Dr Mahathir selepas menyaksikan keikhlasan mahu memulihkan negara dan menghapuskan rasuah.

Ia bukan mudah katanya, kerana beliau sendiri terpaksa bersusah-payah memaafkan individu yang pernah memenjarakannya itu.

Malah kata beliau, sebelum ini setiap kali idea untuk memaafkan Dr Mahathir timbul, ia akan mencetuskan perbalahan dalam keluarganya.

“Saya maafkan beliau. Saya ikhlas maafkannya. Beliau juga mengaku silap kerana memecat saya. Apa lagi kita hendak dia cakap? Cukuplah.”

Kata beliau ramai orang mengkritiknya kerana bergabung dengan bekas musuhnya itu dan bertanya sama ada Dr Mahathir benar-benar berubah.

Namun sebagai orang yang dipenjarakan itu, beliau telah memaafkan Dr Mahathir, dan meminta orang lain melupakan peristiwa tersebut dan mengambil langkah maju ke depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here