BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus ‘berdiam diri’ setiap kali menerima desakan pelbagai pihak supaya mengisytiharkan kekayaan dimiliki beliau dan anak-anaknya.

Sehingga hari ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilihat gagal dan cuba lari daripada menjawab desakan itu.

Bagaimana mulanya desakan itu?

Ianya datang daripada sayap pemuda parti itu sendiri, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah lama mendesak Mahathir mendedahkan kekayaan dimiliki termasuk anak-anaknya sejak meninggalkan jawatan Perdana Menteri. Tetapi beliau senyap.

Selama ini Mahathir suka mencari kesilapan orang lain, mendakwa orang terlibat rasuah termasuklah kekayaan anak-anak pemimpin.

Tetapi apabila desakan itu diajukan kepada beliau malah daripada Armada sendiri, tiada penjelasan diberikan.

Mahathir sebelum ini memaklumkan bersedia mengisytiharkan asetnya jika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ya, saya boleh isytiharkan aset saya tetapi saya tak tahu sama ada saya akan jadi calon atau tidak,” kata Mahathir.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru-baru ini berkata, Mahathir tidak perlu menjadi calon PRU-14 untuk mengisytiharkan harta beliau kepada umum.

Mohamed Nazri memberitahu, anak-anak Mahathir juga perlu mengisytiharkan harta mereka kerana rakyat ingin tahu kekayaan luar biasa bekas pemimpin negara itu dan keluarganya selepas tidak mentadbir negara.

Apa kaitannya Mahathir menjadi calon pilihan raya atau tidak?

Sepatutnya Mahathir yang dituduh mengumpul kekayaan selama 22 tahun itu, melakukan pengisytiharkan hartanya supaya beliau dapat membersihkan namanya.

Bukan disebabkan dirinya akan menjadi calon atau pun tidak.

Ia adalah mengenai tuduhan kekayaan yang dimiliki oleh Mahathir serta anak-anaknya dan tiada kaitan pun soal menjadi calon atau tidak.

Selama ini ramai yang bertanya mengenai harta dan kekayaan Mahathir serta anak-anaknya.

Sejak lama dulu soalan mengenai pengisytiharan harta ini ditujukan kepada Mahathir tetapi beliau tidak melakukannya.

Beranikah Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya membuktikan kejujuran beliau kepada rakyat berhubung jumlah kekayaan dimiliki Mahathir serta anak-anaknya?

Ketika Mahathir menerajui pentadbiran negara, isu tersebut sering dibangkitkan oleh Kit Siang dan dijadikan modal serangan beliau.

Tetapi hari ini, apabila kedua-dua mereka duduk di bawah satu payung yang sama, Kit Siang se­nyap seribu bahasa mengenai isu kekayaan Mahathir serta anaknya.

Sepatutnya Kit Siang perlulah dedahkan kalau betul kononnya beliau seorang pemimpin berprinsip.

Beranikah Kit Siang berbuat demikian?

Tidak perlu Mahathir untuk kata pemimpin ini hidup mewah, pemimpin itu kaya kalau beliau sendiri senyap bila diajukan soalan sama.

Tidak perlu buat gimik untuk memutarbelitkan pemikiran rakyat.

Kalau Mahathir berani, segeralah isytihar harta kerana rakyat juga pasti ingin mengetahuinya.

Kalau tidak serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat.

Beranikah Mahathir berbuat demikian? Kalau berani, buktikanlah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here