KUANTAN – “Negara kita ada undang-undang, berani buat beranilah tanggung akibatnya,”.

Demikian kata dua yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada penganjur Bersih 4.0 yang tetap berdegil mahu mengadakan perhimpunan di ibu negara pada hujung minggu ini walaupun diisytiharkan sebagai haram.

Beliau menegaskan, polis sudah memberi nasihat, berunding dan menawarkan pelbagai pilihan kepada penganjur namun mereka tetap berdegil mahu meneruskan perhimpunan tersebut.

“Jadi mereka kena terima akibatnya. Secara ringkasnya jangan marahkan polis nanti kalau kita ambil tindakan.

“Kalau mereka masih ingin langgar undang-undang, apa yang kami boleh buat. Kami adalah penguat kuasa undang-undang, tanggungjawab kami adalah mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan pingat tersebut kepada seramai 100 bekas petugas polis bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan keamanan tanah air.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut Khalid, penganjur Bersih 4.0 masih diberi pilihan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut di stadium.

“Itulah sebab awal-awal lagi saya cadangkan supaya mereka menggunakan stadium kerana mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain serta peniaga yang berada di sekitar kawasan terlibat.

“Pilihan untuk buat perhimpunan di stadium masih lagi dibuka, mereka boleh buat di Stadium Bukit Jalil kerana stadium itu boleh memuatkan ramai peserta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau membidas tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mahu memantau kelakuan pihak berkuasa dalam perhimpunan tersebut.

“Mengapa Suhakam tidak memantau orang yang melanggar undang-undang. Kenapa mesti sebut pantau penguat kuasa. Apakah orang yang langgar undang-undang tidak perlu dipantau?.

“Apakah Suhakam hanya mementingkan hak orang yang melanggar undang-undang, jadi mana kedudukan undang-undang di negara kita?,” soalnya.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here