melayu UMNO

SESUATU kaum itu tidak kira Melayu, Cina atau India akan utuh dan martabat tamadunnya akan meningkat jikalau ada kepedulian daripada kaumnya.

Firman Allah SWT bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.”

Pada 2 Ogos lepas, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan individu yang merosakkan fikiran orang Melayu walaupun didakwa bukan daripada keturunan kaum itu.

Sebaliknya dasar UMNO yang membela Melayu tertentu dan menzalimi kaum berkenaan kerana beraliran politik dengannya adalah punca kepada kerosakan tersebut.

Walaupun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.

PAS tidak menentang individu tetapi merupakan sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Justeru, pinta Muhammad Khalil, PAS menyeru kaum Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian.

Dakwanya bukan penyelesaian cara UMNO yang menggula-gulakan kaum Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihanraya.

Persoalannya, benarkah dakwaan UMNO yang merosakkan pemikiran kaum Melayu?

UMNO adalah sebuah institusi dan yang mengetuainya juga adalah orang Melayu.

Bagaimana pula sesebuah institusi boleh merosakkan pemikiran orang Melayu?

Bagaimana pula dengan PAS? Adakah parti itu tidak diketuai orang Melayu?

Adakah sejak kewujudan parti itu, tiada perpecahan berlaku di dalam PAS?

Bukankah perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti politik terutama parti politik Melayu turut menyebabkan Melayu berpecah dan rosak?

Mungkin Muhammad Khalil tidak melihat perkara itu berlaku dalam PAS dan mungkin beliau mengandaikan perpecahan Melayu dalam PAS juga mungkin disebabkan oleh UMNO.

Jadi, apakah maksud firman Allah SWT yang mengatakan Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka?

Bagaimana pula dengan perpecahan kaum Melayu dan Islam dalam kalangan penyokong parti politik PAS dan parti serpihannya, PAN?

Adakah wujudnya PAN bukan daripada faktor perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu dalam PAS?

Adakah perpecahan dalam PAS sehingga wujudnya PAN tidak menyebabkan pemikiran orang Melayu menjadi rosak?

Mungkin tidak bagi fikiran Muhammad Khalil.

Jika dilihat, orang Melayu bukan sahaja rosak daripada segi pemikirannya, malah bercakaran dan fitnah memfitnah menjadi budaya antara satu sama lain.

Tidak kiralah Melayu dari UMNO ataupun PAS, situasi yang berlaku adalah sama.

Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku kepada orang Melayu pada ketika ini?

Melayu kini boleh dikatakan dilanda ‘dilema Melayu’.

Situasi itu berlaku berlaku dalam masyarakat Melayu masa kini yang berpecah gara-gara parti politik.

Perpecahan orang Melayu dan Islam mula berlaku apabila masing-masing cuba menunjuk hebat dengan menubuhkan pelbagai parti politik.

Mereka menubuhkan parti kerana mahu memegang kekuasaan politik. Apabila berjaya memegang politik, mereka akan menguasai negara sekali gus merasakan dapat mengawal segala-galanya. Sebab itulah banyak parti politik diwujudkan.

Sedarkah orang Melayu, dengan adanya pelbagai parti politik ini menjadi faktor penyebab kaum Melayu mula berpecah.

Keadaan disifatkan semakin kritikal apabila perpaduan dalam kalangan Melayu sendiri semakin tergugat.

Apa hendak jadi kepada orang Melayu?

Sikap orang Melayu yang tidak bersatu hanya merugikan anak cucu pada masa akan datang.

Jika diimbas kembali, pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an serta awal tahun 2000, kaum Melayu di Semenanjung, cuma memfokuskan sama ada untuk mengundi UMNO/Barisan Nasional (BN) atau PAS sahaja di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Walaupun tidak dinafikan wujud beberapa parti kecil lain yang berasaskan orang Melayu atau parti serpihan, semuanya tidak memberi impak termasuk Parti Semangat 46 (S46) yang pada satu peringkat, kelihatan lebih gah, tetapi akhirnya kecundang.

Melihat ke hadapan iaitu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pentas politik tanah air kini menyaksikan pula kemunculan parti baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ini bermakna, PRU-14 bakal menyaksikan lebih banyak parti orang Melayu iaitu UMNO, PAS, PAN dan PPBM.

Empat parti Melayu bakal bersaing sesama sendiri, selain Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun mereka mendakwa ia berasaskan pelbagai kaum.

Kewujudan lebih banyak parti politik mewakili orang Melayu menggambarkan situasi tidak sihat dan berbahaya kepada orang Melayu dan agama Islam.

Jika perkara ini berterusan berlaku, siapa akhirnya yang akan rosak?

Sudah tentu orang Melayu itu sendiri. Jangan kita rebah di bumi kita tempat tumpah tanah darah kita.

Namun, itulah sebenarnya yang dinantikan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan.

Apabila orang Melayu berpecah dan rosak pemikirannya, peluang untuk mereka mengambil alih pemerintahan negara ini adalah cerah dan tidak ada halangan lagi.

Sebagai orang Melayu, kita seharusnya mengukuhkan perpaduan, bukan mencari perbezaan yang akhirnya akan menggugat perpaduan kaum sendiri.

Jika tidak, bersedia untuk menjadi komuniti penting diri sendiri, kaum tidak kenal asal usul dan melihat kekayaan serta keharmonian bangsa rakus dimamah bangsa lain tanpa kita dapat berbuat apa-apa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here