PAKATAN HARAPAN (PH) dikatakan cukup bimbang dengan ancaman yang akan diberikan PAS kepada pakatan pembangkang diketuai DAP itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jika dilihat, ianya mempunyai kebenarannya kepada PH terutama Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berterusan menyerang PAS.

Biarpun pada dasarnya tidak diketahui apakah tujuan serangan berterusan Tun Mahathir dan PH terhadap PAS namun ia pastinya berkait rapat dengan keputusan PAS untuk tidak bersama PH pada PRU-14.

Ternyata PH dan Mahathir tidak akan duduk diam dan berterusan menyakinkan rakyat bahawa PAS adalah sebuah parti yang tidak releven dan tidak boleh membela nasib rakyat.

Kenapa itu dilakukan? Tentunya PH dan Mahathir tahu ancaman yang akan diberikan PAS terhadap parti itu pada PRU-14 akan datang.

Tidak dinafikan, sokongan kuat penyokong PAS yang setia dengan parti itu banyak memberikan bantuan kepada Pakatan Rakyat pada PRU-13.

Pada PRU-14, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Ianya ternyata lebih membimbangkan PH walaupun pakatan pembangkang itu yang diketuai DAP itu meramalkan PAS akan kalah teruk pada PRU-14.

PAS akan bertanding di kawasan yang ditandiing Barisan Nasional (BN) dan kawasan dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kebimbangan itu diakui oleh Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Ahmad setelah PAS mengambil keputusan meletakkan calonnya di kerusi tradisi parti itu, Permatang Pauh yang kini disandang oleh Presiden PKR dan juga Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kata Nik Nazmi, keputusan PAS bertanding di kerusi PKR pada PRU-14 hanya akan menguntungkan BN.

Menurut Nik Nazmi tindakan PAS itu boleh melenyapkan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang yang diusahakan oleh tokoh-tokoh PAS.

Salahkah PAS untuk bertanding di mana sahaja kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikehendaki parti berkenaan?

Kini PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang dan boleh bertanding di mana kawasan sekalipun.

Adakah baharu sekarang PH menyedari betapa pentingnya perpaduan?

“Keputusan PAS bertanding di Permatang Pauh amatlah dikesali. Tindakan ini tidak bertanggunjawab dan menjejaskan kepentingan serta aspirasi rakyat untuk melihat pembangkang bersatu melawan Datuk Seri Najib Razak.

“Amatlah menyedihkan melihat usaha membina perpaduan di kalangan pembangkang oleh tokoh-tokoh seperti Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat digadaikan oleh pimpinan PAS hari ini,” kata Nik Nazmi.

Pada PRU-13, PAS menang 21 kerusi dan 23 kerusi pada PRU-12 ketika bergabung dengan pakatan pembangkang berbanding hanya tujuh kerusi pada PRU 2004.

Walaupun PAS bersama PKR dan DAP pada PRU-13, pakatan itu gagal mempertahankan Kedah dan gagal menawan Perak.

Sebelum ini, ramai pemimpin PH menyatakan mereka tidak bimbang dengan PAS yang bertanding secara sendiri, malah yakin parti itu akan kalah teruk pada PRU-14.

Sementara itu, PAN membandingkan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS lebih banyak semasa bersama pakatan pembangkang berbanding ketika parti itu bersendirian.

Tidak dinafikan mana-mana parti politik pasti mempunyai kekuatan tersendiri termasuklah PAS.

Jika tidak, PH sebelum tidak akan bersungguh-sungguh mahu PAS menyertai pakatan itu namun PAS teguh dengan pendiriannya.

Adakah tanpa kerjasama PAS, parti-parti dalam pakatan pembangkang juga akan menang lebih banyak kerusi pada PRU-14?

Bagi PAS, walaupun tidak mungkin dapat menubuhkan kerajaan pemerintah, parti itu akan menjadi penghalang utama kepada PH untuk menumbangkan BN.

Inilah yang membimbangkan PH. Adakah cita-cita mereka membentuk kerajaan bakal digagalkan oleh PAS?

PH terutamanya DAP dan Mahathir kini pastinya dalam dilema.

PAS sebenarnya ada aura yang menakutkan PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here