JIKA dilihat, setiap parti politik kebiasaannya mengadakan pemilihan bagi memilih kepimpinan parti, namun selepas pemilihan, ia selesai dan kepimpinan dipilih boleh melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka.

Namun ia tidak terjadi bagi DAP, selepas selesai mengadakan pemilihan semula parti itu pada 12 November 2017, masih wujud permasalahan ekoran rasa tidak puas hati ahli parti berkenaan.

Selepas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November 2017, beberapa pihak mendakwa ia tidak sah kerana gagal mematuhi peraturan Pendaftar Pertubuhan.

Ini meliputi aduan daripada 16 perwakilan dan ahli DAP sendiri yang mahukan pemilihan semula diadakan.

Antara yang membuat aduan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) adalah Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Asam Kumbang, Santokh Singh yang mendakwa pemilihan semula itu tidak mengikut undang-undang ditetapkan.

Antara perkara yang gagal dipatuhi ialah mengenai senarai nama calon CEC yang tidak dikemaskini termasuk menyenaraikan nama calon yang telah keluar parti dan meninggal dunia.

Parti terĀ­sebut juga gagal menyediakan akses ke laman web DAP untuk perwakilan yang layak mengundi dengan mudah seperti syarat ditetapkan oleh RoS melalui satu surat pada 21 September lalu.

Biarpun telah meninggal dunia, bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh masih mendapat sebanyak 43 undi. Tiga calon lain yang telah keluar parti dan masih mendapat undi ialah John Fernandez (lapan undi), Zulkifli Mohd. Noor (43 undi) dan Roseli Abdul Ghani (lapan undi).

Bermakna, ia berkemungkinan mengulangi apa yang berlaku pada dua CEC iaitu pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 yang didapati tidak sah dan terbatal oleh RoS.

Kali ini antara bantahan adalah kertas undi yang tidak diletakkan nombor siri dan nama calon; tidak mempamerkan senarai nama calon di media; dan proses pengiraan undi yang dibuat secara tertutup tanpa sebarang pemerhati dan wakil.

Memandangkan isu tersebut menyentuh soal peraturan yang tertakluk di bawah RoS maka rakyat pasti ingin tahu apa status CEC berkenaan?

Adakah pemilihan semula CEC DAP itu sekali lagi akan dibatalkan?

Pemilihan semula CEC DAP pada 12 November 2017 menyaksikan kebanyakan barisan kepimpinan lama kekal menerajui parti itu kecuali hanya dua muka baharu sahaja yang dipilih.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilihat mendahului senarai undi tertinggi dengan memperoleh 1,199 undi sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam barisan kepemimpinan parti pembangkang itu.

Turut kekal terpilih ialah anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng serta anak mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo apabila masing-masing memperoleh 1,180 dan 1198 undi.

Bagaimanapun, jumlah undi yang diperolehi didapati berkurangan berbanding ketika keputusan pemilihan semula CEC 2013 yang tidak diiktiraf RoS sebelum ini.

Sementara itu, muka baharu yang terpilih dalam jawatankuasa itu ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liew dengan memperoleh undi 688 dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang mendapat 586 undi.

Ekoran dakwaan berkenaan, RoS perlu segera menjalankan siasatan mengenai aduan akar umbi DAP terhadap pemilihan semula CEC parti itu pada 12 November tahun lalu.

RoS perlu segera tampil membuat ketentuan dalam hal berkenaan.

Apa yang penting adalah keputusan tentang status CEC tersebut, sama ada ianya sah atau sebaliknya.

Keputusan CEC itu juga akan menentukan sama ada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng boleh menandatangani watikah calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk diperakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demi keadilan semua pihak, RoS perlu bertindak segera dan jangan mengambil masa yang lama.

RoS tidak perlu takut pada DAP. Kalau CEC itu tidak sah seharusnya diumumkan sahaja keputusannya.

Dan DAP makin jelas kini berdepan dengan kemungkinan tidak dapat bertanding pada PRU-14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here