SELEPAS Bajet 2018 selesai dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai suara mula kedengaran sama ada yang positif dan tidak ketinggalan negatif mengenainya.

Yang paling menarik perhatian adalah komen yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Apa yang dikatakan Azmin?

Menteri Besar Selangor itu menyatakan bahawa kebanyakkan pengisian Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah mirip kepada belanjawan yang telah diamalkan oleh Selangor.

Benarkah Bajet 2018 ciplak Belanjawan negeri Selangor?

Dalam Bajet 2018, Perdana Menteri mengumumkan mengenai program MyBrain (MyBrain15KPT) yang diberikan peruntukan RM90 juta untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Azmin mendakwa program MyBrain mengambil contoh program Selangor Brain Bank.

Tulis Azmin dalam laman tweetnya;

‘Selangor Brain Bank telah saya laksanakan 3 tahun tetapi @NajibRazak baru tadi lancar Malaysian Brain Bank. Selangor terus jadi model.’

Adakah Azmin melakukan penyelidikan sebelum mengeluarkan kenyataan itu?

Untuk makluman, program MyBrain yang didakwa adalah saduran daripada program Selangor Brain Bank itu sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, iaitu sejak Disember 2010.

Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan tiga program baru pada 3 Disember 2010 di bawah MyBrain15 dengan peruntukan sebanyak RM2.68 bilion, dalam usaha meningkatkan jumlah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2015.

Tiga program baru itu ialah Program Pembiayaan Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster), Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) dan Program PhD Industri.

Peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu turut membabitkan Program Skim Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kementerian menetapkan sasaran menghasilkan 24,300 pemegang PhD dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana dalam RMK-10, jadi pelaksanaan empat program ini diharap mampu menyumbang kepada peningkatan bilangan itu.

Program MyMaster dan MyPhD dijangka dapat merealisasikan hasrat Malaysia menjadi hab inovasi kerana penyelidikan kini dilakukan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan bukan lagi di luar negara.

Bila program Selangor Brain Bank dilaksanakan?

Program Selangor Brain Bank diumumkan pada bajet Selangor 2014.

Pada 23 September 2013, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali berkata, Belanjawan Selangor 2014 akan menawarkan Biasiswa Menteri Besar dengan peruntukan sebanyak RM 1.1 juta sebagai permulaan.

Biasiswa itu akan diberikan kepada pelajar Ijazah Lanjutan melalui terbitan bon sebagai usaha membentuk Selangor Brain Bank.

Kata Halimah, ia akan dibentangkan di dalam belanjawan 2014 negeri itu dan akan dimulakan pada awal tahun 2014.

Jika dilihat, program MyBrain Kerajaan Pusat dimulakan pada 2010 dan Selangor Brain Bank diumumkan pada Bajet Selangor 2014.

Jadi, siapakah agaknya yang menjadi pembuka jalan dan siapa agaknya yang menciplak idea?

Bukan itu sahaja, Azmin juga mendakwa penutupan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau adalah hasil perjuangan pembangkang di negeri itu.

Jika Azmin mahu mencari nama dalam isu tol, mengapa tidak dilakukan terlebih dahulu di syarikat konsesi lebuh raya yang mereka jelas mempunyai saham di Selangor ini?

Difahamkan kerajaan negeri Selangor memiliki saham dalam syarikat konsesi lebuh raya di negeri itu.

Jadi, tutup atau mansuh sahajalah jika pembangkang dan Azmin mahu membantu rakyat Selangor.

Adakah impak Bajet 2018 menjelang pilihan raya umum ini menjadikan fikiran politikus Pakatan Harapan nampak berkecamuk?

Tanpa dapat diselindung lagi, masing-masing sudah pun mempamerkan kegusaran mereka. Hendak memuji tidak boleh, jadi jalan yang tinggal kenalah hentam mana yang ada.

Pakatan Harapan sendiri terperangkap dengan bajet alternatif yang diumumkan dua hari sebelum Bajet 2018 dibentang Perdana Menteri.

Terlalu banyak pusingan U dan terlalu banyak perkara yang tidak konsisten dalam pengumuman mereka.

Bukan sahaja rakyat tetapi mereka sendiri yang sebenarnya terkeliru.

Sekali lagi mereka gagal menunjukkan wibawa sebagai sebuah parti yang boleh diberikan harapan untuk memimpin negara.

Hentikan bermimpi mahu perintah negara jika perancangan menjaga sebuah negeri dibuat seolah-olah mahu merebut harta hanya untuk kepuasan diri sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here