“Macam mana nak pimpin negara, kalau isu dalaman parti pun tak boleh nak selesai.” Sindiran itu ditujukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai merujuk insiden pergaduhan ketika Konvensyen Pakatan Harapan di Seremban, Negeri Sembilan.

Abdul Hadi berkata, kewibawaan Dr Mahathir memimpin PPBM boleh dipertikai kerana bekas Perdana Menteri itu ternyata tidak mampu menyelesaikan kemelut dalaman parti sendiri di peringkat negeri.

“Bagaimana nak pimpin negara kalau krisis dalaman parti sendiri pun dia (Dr Mahathir) tak mampu nak selesaikan.

“Belum pilihan raya dah bergaduh. Kalau jadi kerajaan, makin bergaduhlah nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput di sini, pagi tadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (tengah) melihat pelan projek kompleks Pendidikan Ibnu Aqil sambil ditemani Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, (tiga dari kanan) ketika Majlis Pecah Tanah Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang-Pauh, Arau. – Foto Azhar Ramli

Yang turut hadir ialah Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Kekecohan ketika Konvensyen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan ditimbulkan sekumpulan ahli PPBM ketika pembahagian kerusi Dewan Undangan Kerusi (DUN) antara parti dalam gabungan pembangkang di negeri itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kumpulan terbabit menyuarakan bantahan terhadap Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika mahu menamatkan ucapannya dalam konvensyen itu selepas pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan diumumkan.

Pada konvensyen berkenaan, PPBM diumum diberikan enam kerusi DUN di Negeri Sembilan pada PRU-14 yang semuanya dianggap sukar untuk dimenangi berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam perkembangan lain mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyelesaikan segera kemelut membabitkan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil rakyat PAS di negeri itu.

“Dalam amalan demokrasi, selepas pilihan raya setiap rakyat yang berada dalam negeri terbabit adalah rakyat menteri besar, baik di pihak pembangkang atau kerajaan.

“Justeru, kita minta kerajaan negeri di Selangor bijak mengatasi perkara ini dan kita (PAS) sudah melakukan yang terbaik dalam negeri itu,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here