PUCHONG: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa ada pihak tertentu akan cuba melakukan penipuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Macam-macam perkara yang hendak ditipu. Saya bagaimanapun sedang ‘monitor’ perkara ini, selagi saya di barisan depan, saya tidak akan benarkan semua ini berlaku.

“Saya sedang siapkan jentera, tuan-tuan jangan takut, undi yang tuan berikan adalah rahsia. Jadi kita boleh keluarkan kerajaan ini,” katanya pada himpunan “Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi” di Padang Timur, hari ini.

Rashid yang juga naib presiden PPBM mendakwa hanya pegawai tertinggi kerajaan yang menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Selagi ada kerajaan yang memimpin sekarang ini, negara kita tidak akan menjadi baik. Kita harus malu pada dunia yang kini mengutuk kita, yang tidak mengutuk hanyalah pegawai tertinggi kerajaan kerana mendapat habuan,” dakwanya.

Kira-kira 5,000 orang menghadiri himpunan ini yang bermula 4 petang tadi dan dijadualkan berakhir dengan ucapan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada jam 11 malam nanti.

Himpunan anti-kleptokrasi ini merupakan pengakhiran siri jelajah dan ceramah yang dimulakan di Penaga, Pulau Pinang sejak 3 bulan lalu.

Ia adalah himpunan pertama anjuran Pakatan Harapan sejak gabungan 4 parti pembangkang itu mengemukakan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), akhir Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here