Gabungan tiga bekas Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dilihat akan memperkukuhkan jentera BN Selangor.

Bagaimanapun Penganalisis politik Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berpendapat, tidak dinafikan gandingan ketiga pemimpin itu mempunyai kelemahannya tersendiri.g

Menurutnya, gandingan trio terbabit boleh dianggap sebagai veteran yang tidak lagi aktif berpolitik, di mana majoriti pengundi terutama golongan muda tidak dapat menilai kewibawaan ketiga-tiganya.

“Memang mereka akan menambah keyakinan jentera Umno Selangor dengan pengalaman strategi dan pengaruh yang ada.

“Namun mereka harus mengembalikan semula keyakinan satu segmen dalam kalangan pengundi di Selangor iaitu pengundi berumur khususnya pengundi tegar BN di Selangor,” katanya kepada Sinar Online.

Jentera BN Selangor akan diperkukuh dengan penglibatan Abu Hassan, Mohamad Khir dan Muhammad.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan penyertaan semula Muhammad melengkapkan jentera BN untuk kembali merampas Selangor.

Bagaimanapun mengulas lanjut mengenainya, Muhammad Shamshinor berkata, isu melibatkan trio itu ketika memegang jawatan sebagai menteri besar akan dikaitkan secara langsung kepada BN Selangor.

“Ia sekali gus mengundang beban kepada jentera BN bagi membuktikan transformasi Umno Selangor.

“Kekerapan Muhammad menukar parti dianggap seperti ‘nomadic politician’ oleh segelintir pemerhati politik seterusnya mengundang impak negatif dari segi kesetiaan terhadap parti,” katanya.

Sementara itu, menurut Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, kemenangan Umno Selangor bukan hanya bergantung kepada lengkapnya senarai atau seramai mana bekas menteri besar menyokong parti itu.

Sebaliknya jelas beliau, Umno memerlukan nilai tambah daripada segi pengaruh dan kemampuan untuk bekerja kuat berjumpa pengundi dan tokoh di Selangor untuk menerangkan keperluan menyokong BN.

“Sokongan Muhammad kepada BN perlu disusuli gerak kerja khusus melibatkan peranan beliau yang perlu pantas bergerak ke seluruh Selangor.

“Apa yang penting pada masa ini bukanlah soal kemasukan mana-mana pemimpin ke dalam parti, tetapi BN perlu menggerakkan semua komponen parti,” katanya.

Menurutnya, masalah yang terdapat pada BN Selangor hari ini berpunca daripada jentera BN selain Umno yang tidak aktif.

“Dalam BN Selangor, komponen yang paling aktif adalah Umno, malangnya parti lain seperti MCA, MIC dan Gerakan serta lain-lain parti komponen tidak mampu meraih sokongan terhadap mereka.

“BN di Selangor hanya hidup dengan adanya Umno,” jelasnya.- ATHIRAH HASLI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here