KUALA LUMPUR: Bekas diplomat Datuk Yeop Adlan Che Rose, 74, dilaporkan menyertai DAP kerana menyakini pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang, selepas bersama PAS sebagai calon kerusi Parlimen Hulu Langat pada 2004 dan ahli jawatankuasa Lajnah Antarabangsa parti Islam itu.

Kemasukannya ke DAP diuar-uarkan sejak 2 November lalu melalui saluran media sosial DAP. Bekas diplomat itu terdorong menyertai DAP selepas meyakini kerajaan Pulau Pinang yang diterajui parti itu bukan anti-Melayu dan menyumbang kepada pembangunan Islam.

“Jabatan Islam dia bagi RM14 juta setahun,” kata Yeop dalam wawancara Roketkini.com hari ini, ketika ditanya apa yang menarik minatnya menyertai parti yang dilabel anti-Melayu dan Islam.

Beliau percaya orang Melayu akan dapat mencapai kemajuan dalam sebuah negara yang ditadbir seperti Pulau Pinang.

Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, Yeop Adlan berkata kadar hutang Pulau Pinang yang turun daripada RM680 juta kepada RM66 juta menunjukkan kecekapan kerajaan yang diterajui DAP menguruskan ekonomi.

“Tutup bocor, tak ada tiris, tender terbuka. Dia belanja tapi dengan baik,” kata Yeop Adlan, yang turut kagum dengan kebersihan persekitaran di Pulau Pinang sekarang berbanding di bawah Barisan Nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here