MHA_Trending_250815_Bekas Banduan.jpeg

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Seramai 29 bekas banduan yang pernah terlibat dengan kongsi gelap, jenayah kekerasan dan harta benda merupakan kumpulan pertama yang dipakaikan sistem peranti pemantauan elektronik (EMD) di negara ini.

Alat pemantauan elektronik itu mula dipakaikan secara berperingkat bermula 3 Ogos hingga kelmarin dan akan kekal di pergelangan kaki bekas banduan terlibat selama dua tahun bagi mengelakkan mereka kembali melakukan jenayah.

Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah tersebut, seramai lima bekas banduan merupakan bekas anggota kanan dan ketua kongsi gelap.

Menurut beliau, 15 orang lagi pernah terlibat dengan jenayah kekerasan iaitu samun bersenjata api (2), samun berkumpulan dan samun tepi jalan (12) serta samun kedai emas (1).

“Sembilan orang lagi pernah terlibat dalam jenayah harta benda iaitu curi kereta (6), pecah rumah (1) dan curi motosikal (1) sementara seorang pernah terlibat dengan dadah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kata Roslee, dengan pemakaian alat ini, setiap pergerakan mereka akan dipantau rapi dan polis akan mengetahui setiap kegiatan mereka seperti hala tuju, dengan siapa mereka bersama dan di mana mereka berada.

Tambahnya, langkah ini juga dapat mengurangkan peluang mereka untuk melakukan semula jenayah dan pada masa sama dapat mengurangkan kadar jenayah.

“Pemasangan alat ini juga akan menyebabkan bekas banduan ter­babit tidak berani untuk melakukan semula jenayah atau bercampur dengan kumpulan penjenayah ke­rana tahu gerak-geri mereka diperhatikan oleh pihak berkuasa.

“Jika mereka melanggar syarat dengan keluar dari kawasan yang ditetapkan oleh Lembaga Pence­gahan Jenayah, bekas banduan tersebut boleh didakwa semula mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” tegasnya.

Laporan eksklusif Mingguan Malaysia 28 Mac lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemakaian sistem EMD terhadap penjenayah berisiko yang telah menjalani hukuman mengikut undang-undang.

Pelaksanaan itu sebagai satu usaha terbaharu PDRM dalam mengu­rangkan aktiviti jenayah berulang dalam kalangan suspek-suspek yang sama.

EMD telah lama digunakan di beberapa buah negara besar dunia antaranya United Kingdom sejak 1994 dan terbukti pemakaian alat pesalah jenayah itu mengurangkan kesalahan berulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here