Bayaran haji dikekalkan RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan   walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah berkata subsidi haji yang akan diberi kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji.

‘’Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

TH menarik perhatian bahawa bayaran haji itu merupakan kadar paling rendah di Asia Tenggara dengan  kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH semasa jemaah menunaikan ibadah  haji.

“Demi kebajikan dan keselesaan jemaah haji, pelbagai kemudahan serta perkhidmatan TH di Tanah Suci dan tanah air ditambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan seperti perkhidmatan kesihatan, kaunseling, bimbingan dan kewangan,” kata kenyataan itu.

TH telah memulakan proses penghantaran surat tawaran menunaikan haji secara berperingkat sejak semalam. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here