Kenyataan terbaru dari kepimpinan tertinggi Singapura serta ahli cendiakawan mereka berkaitan dengan tindakan Malaysia membawa kes Batu Puteh sekali lagi ke Mahkamah Dunia di The Hague, Netherlands, tidak menunjukkan kematangan berjiran dari pihak Singapura. Baru-baru ini Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dilaporkan berkata tindakan Malaysia membuat permohonan semakan kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah kerana motif politik yang ‘ada kaitan dengan pilihanraya yang akan datang’.

Dari perspektif undang-undang antarabangsa, sebagai sebuah Negara yang berdaulat Malaysia menpunyai hak untuk bertindak melakukan sesuatu bagi tujuan membela kedaulatan negara sekiranya digugat oleh mana mana pihak samada individu ataupun negara. Hak kesamarataan (Equality of States) serta Kedaulatan Negara (State Sovereignty) adalah satu doktrin undang undang antarabangsa yang sudahpun berusia 300 tahun dan masih di anggap satu penganugerahan yang teringgi oleh semua Negara yang bertamadun selepas Perjanjian Keamanan Westphalia ditandatangani.

Ini bermakna, apapun tindakan Malaysia asalkan tidak menjangkau atau melebihi batasan kedaulatan Negara adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa. Dalam konteks ini, adalah keterlaluan bagi pemimpin Singapura serta ahli akademik mereka membuat kenyataan bahawa tindakan Malaysia membawa kes Batu Puteh ke mahkamah Dunia itu adalah berdasarkan politik. Apapun tindakan Kerajaan Malaysia samada berbau politik ataupun sebaliknya adalah urusan dalaman dan tidak perlu ada campurtangan dari pihak luar. Apa yang amat menyedihkan ialah komen yang di buat oleh ahli akademik Singapura itu adalah seoalah-olah Mahkamah Dunia sudah membuat keputusan yang negatif terhadap Malaysia. Tindakan pre-emtif ini sedahpun menular di dunia siber sebelum keputusan di buat oleh Mahkamah Dunia tentang kes tersebut.

Baru –baru ini beberapa orang ahli akademik dari universiti terkenal di Singapura membuat kenyataan seolah-olah tindakan Kerajaan Malaysia membawa kes ini sekadar melepas batuk di tangga, sesuatu tindakan sekadar di buat supaya rakyat tidak mengkritik Kerajaan. Tindakan Kerajaan Malaysia membuat permohonan mengkaji semula kes Batu Puteh itu adalah berdasarkan pada satu peraturan yang membenarkan sebuah Negara itu boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Dunia  sebelum tempoh sepuloh tahun tamat dan jika ada bukti terbaru yang tidak di kemukakan kepada mahkamah semasa kes dahulu di bicarakan dan sekiranya bukti terbaharu itu di kemukakan kepada mahkamah maka bukti itu adalah crucial  dalam proses pembuatan keputusan.

Juga dinyatakan di dalam peraturan itu, Negara yang membuat permohonan tersebut tidaklah atas sebab kecuaian mereka apabila menjumpai bukti dan fakta terbaharu tersebut. Seorang lagi akademik Singapura menyatakan bahawa tindakan kerajaan Malaysia itu bermotifkan politik kerana Kerajaan Malaysia akan mengadakan pilihanraya tidak lama lagi.

Ada pula ahli akademik yang menyindir bahawa seorang jiran itu tidak akan mengungkit tindakan yang dahulu sekiranya sudah di persetujui pertikaian itu sudah di selesaikan oleh mahkamah.Kenyataan tersebut seolah olah tidak ada kepercayaan seorang jiran.

Sebagai sebuah Negara jiran yang terdekat serta anggota ASEAN, Singapura seharusnya berterima kasih bahawa tindakan Malaysia memohon kepada Mahkamah Dunia mengkaji semula kes Batu Puteh adalah satu tindakan secara terbaik yang di tuntut di bawah Piagam Bangsa Bangsa Bersatu. Piagam tersebut menuntut apa bentuk pertikaian antara  dua negara mestilah secara aman dengan melalui proses rundingan, mediasi, konsiliasi ataupun secara adjudikasi mahkamah atau tribunal.

Oleh itu, tindakan Kerajaan Malaysia adalah menurut naluri Piagam Bangsa Bangsa Bersatu dan harus di contohi oleh mana mana negara di dunia yang menghadapi konflik sempadan ataupun perselisihan lain. Singapura harus bersyukur bahawa mereka mempunyai jiran yang baik seperti Malaysia kerana apapun bentuk perselisihan samada politik, keselamatan ataupun politik masihboleh dibawa ke meja perundingan ataupun ke mahkamah untuk mendapat penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua pihak.

Singapura juga harus sensitif terhadap Malaysia dalam membuat kenyataan yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia tersinggung dan tidak berbaik sangka dengan Singapura. Bagi pihak Malaysia, tidak ada kenyataan di akhbar yang bersikap negatif terhadap Singapura apabila Mahkamah Dunia membuat keputusan di pihak mereka pada tahun 2008. Bukan kah menjadi rukun kejiranan menjaga sensitiviti supaya masyarakat boleh hidup aman dan damai? Pada tahun 2008 semasa keputusan Mahkamah Dunia memihak kepada Singapura tidak ada demonstrasi pun berlaku di Kuala Lumpur menentang keputusan mahkamah Dunia ataupun memboikot Singapura. Bukankah itu satu tindakan yang baik di ambil seorang jiran?

Apa yang harus di lakukan oleh kedua-dua pihak ialah menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk membuat keadilan yang sebaik baiknya dan sebagai sebuah Negara berdaulat akur kepada keputusan mahkamah nanti tanpa membuat tuduhan dan kenyataan yang melulu lebih lebih lagi di peringkat kepimpinan tertinggi dan bagi pihak ahli intelek pula menghormati hak dan kedaulatan  sesebuah Negara itu dalam membuat keputusan dalaman yang mengikut naluri Piagam Bangsa Bangsa Bersatu.

Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad adalah Dekan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara dan merupakan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika di New Delhi, India.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawati di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here