Keputusan membabitkan rancangan pembelian aset komersial dalam pembangunan Fasa 2 Battersea Power Station dibuat secara bebas tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Menurut kenyataan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) semalam, keputusan bagi meninjau potensi penyusunan semula pemilikan itu merupakan satu pertimbangan pelaburan semata-mata yang dimulakan lembaga pengarah dan pengurusan BPS (Battersea Power Station) beserta kedua-dua dana itu tanpa campur tangan daripada kerajaan.

“(Pihak) KWSP dan PNB mengesahkan menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoT) dengan Battersea Phase 2 Holding Co Ltd untuk memulakan rundingan awal bagi pembelian aset-aset komersial dalam Fasa 2 dengan jumlah dipertimbangkan kira-kira £1.61 bilion (RM8.76 bilion).

“Bagaimanapun, HoT itu adalah perjanjian yang tidak terikat dan terma itu tertakluk kepada rundingan dan usaha wajar selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, KWSP sebahagian daripada konsortium pemaju merangkumi SP Setia dan Sime Darby Property dalam pembangunan Battersea Power Station yang bermula 2012 dengan keseluruhannya meliputi Fasa 1 hingga Fasa 7.

KWSP memiliki 20% dalam pembangunan Battersea Power Station dan langkah penyusunan semula itu tidak akan melibatkan pegangan saham KWSP dalam kemajuan keseluruhan projek itu.

PNB pula mempunyai pegangan majoriti dalam SP Setia dan Sime Darby Property yang memiliki bersama 80% ekuiti dalam pembangunan Battersea Power Station.

Fasa 1 projek itu yang kebanyakannya terdiri daripada unit kediaman, sudah siap dengan 100% kadar pembelian dan berjaya diserahkan kepada pembeli kediaman dalam suku akhir 2017, manakala komponen kediaman Fasa 2 hampir 100% dibeli.

Pelaburan modal awal dalam projek itu oleh konsortium pemaju juga dilabur semula untuk membangunkan fasa seterusnya.

Menurut kenyataan itu, KWSP dan PNB kini menimbang membeli pemilikan dalam Fasa 2 projek tersebut yang dikenali sebagai bangunan The Power Station – projek utama dengan kebanyakannya ruang runcit dan pejabat.

“KWSP dan PNB melihat ini sebagai peluang strategik untuk mendapatkan pemilikan aset hartanah unik dan ikonik di bandar raya global, yang bakal menyediakan arus pendapatan kukuh pada masa depan bagi memenuhi keperluan pendapatan mereka masing-masing,” kata kenyataan itu.

Fasa 2 projek tersebut dijangka selesai lewat 2020 dan juga disewakan lebih awal kepada penyewa utama seperti Apple, satu daripada syarikat teknologi utama dunia bagi kawasan sewaan seluas 500,000 kaki persegi.

“Ini petanda baik untuk pelabur berpotensi, memandangkan ia dilihat sebagai pendahulu kepada masa depan pembangunan Battersea Power Station.”

Harga belian yang masih tertakluk kepada usaha wajar selanjutnya, disusun berdasarkan asas disiapkan dan disewakan untuk memberi hasil jangka panjang menarik kepada pelabur.

“Seiring program kepelbagaiannya sejak beberapa tahun ini, KWSP giat meningkatkan aset hartanah dan infrastruktur di peringkat domestik dan luar negara untuk meraih pendapatan mampan jangka panjang bagi manfaat anggotanya.”

Transaksi yang dicadangkan itu juga seiring Pelan STRIVE-15 Strategik PNB yang menekankan strategi jangka panjang pempelbagaian portfolio dan pengembangan bijak dalam aset global.

“KWSP dan PNB komited serta berpegang teguh untuk mendukung kepercayaan anggota dan pemegang unit kedua-dua institusi ini serta rakyat Malaysia dan sebarang kesimpulan merujuk keputusan pelaburan itu dibuat atas sebarang alasan selain manfaat rakyat, tidak benar sama sekali dan berniat jahat,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here