deepavali

Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Perayaan sempena sambutan Deepavali pada  18 Oktober ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata skim kawalan harga berkenaan akan berkuat kuasa selama 10 hari bermula 13 Oktober hingga 22 Oktober ini.

Antara barangan itu ialah ayam, telur ayam bergred, daging kambing tempatan dan import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang, ubi kentang dan kacang dal.

“Penetapan harga berkenaan dibuat hasil pemantauan di seluruh negara sepanjang tahun 2016 hingga bulan lepas selain berbincang dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hamzah, bagaimanapun berkata, terdapat 10 peratus kenaikan harga bagi daging kambing dan biri-biri tahun ini berikutan kekurangan bekalan memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha bulan lepas, namun bekalan  masih mencukupi untuk Deepavali ini.

Katanya, semua peniaga juga wajib meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi 16 jenis barangan terkawal itu dan tidak menjualnya melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Beliau turut menggalakkan peniaga supaya menjual barangan terkawal itu pada harga yang lebih rendah daripada penetapan harga maksimum berkenaan sekiranya mereka memperoleh bekalan pada harga rendah.

Hamzah turut mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas dan penalti akan dikenakan sekiranya mereka gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut seperti yang tertakluk dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga yang ditetapkan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu serta denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM50,000 bagi syarikat.

Kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 dan syarikat bakal didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000, tambahnya.

Beliau berkata selain 2,600 anggota penguat kuasa kementerian itu yang akan sentiasa berada di lokasi tumpuan awam untuk pemeriksaan dan pemantauan dan orang ramai diminta memberi maklum balas mengenai sebarang pelanggaran etika oleh peniaga.

Pengguna dan peniaga boleh membuat semakan harga barangan di laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here