JIKA disoroti kembali pelbagai janji dan harapan yang ditaburkan pembangkang kepada rakyat sejak bertahun-tahun, kita tentu akan mendapati bahawa penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol adalah antara perkara yang diratib mereka saban tahun bagi memenangi hati dan undi orang ramai.

Perkara sama dapat rakyat saksikan dalam ‘janji’ mereka setelah terbentuknya jenama dan gabungan mereka yang baharu, Pakatan Harapan (PH). Persoalan samada kesemua janji itu realistik atau tidak nampaknya telah dikemudiankan. Yang penting, biarlah orang ramai dimenangi hati dan dipengaruhi undi mereka terlebih dahulu. Itulah strategi yang diguna pakai pembangkang sejak sekian lama. Baru-baru ini, ketika mana mereka membentangkan belanjawan alternatif mereka, rakyat juga hairan apabila janji mereka untuk menghapuskan hutang PTPTN juga telah mula ‘dididamkan’. Apakah itu satu petanda bahawa mereka mula menyedari satu demi satu janji mereka selama ini langsung tidak relevan?

Mungkin ‘Murah’, Tetapi Tetap Beban

Semalam, calon perdana menteri mereka Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan apabila Pengerusi PH itu mendakwa kadar tol yang dikenakan di Malaysia adalah yang termurah di Malaysia, sekaligus membayangkan bahawa penghapusan tol di bawah pemerintahan PH hampir pasti tidak akan berlaku. Kenyataan ini disifatkan mengejutkan kerana ianya jelas bertentangan dengan janji manis yang ditaburkan pembangkang sebelum ini yang kelihatan ‘bermati-matian’ mengkritik kerajaan mengenai kadar harga dan perjanjian konsesi tol di Malaysia.

Apabila Mahathir sendiri yang mengeluarkan kenyataan ini, maka rakyat sudah pening dan keliru. Mana satu yang betul? Pakatan kata tol mahu dihapuskan. Tetapi calon perdana menterinya pula mendakwa kadar tol yang ada di Malaysia adalah yang termurah dan perlu dikekalkan bagi urusan penyelenggaraan lebuh raya. Malah, dalam dakwaan dan kenyataannya itu, Mahathir membandingkan pula kadar tol di Malaysia dengan kadar tol di Jepun yang disifatkan jauh dan berganda-ganda lebih mahal. Situasi ini terus menampakkan lagi hipokrisi PH. Jika sebelum ini mereka tegar menghentam kerajaan kerana membandingkan harga minyak dengan negara luar, hari ini pemimpin mereka sendiri membandingkan harga tol dengan negara luar. Tidakkah ini umpama meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri?

Mainan Politik Demi Undi

Jika Mahathir tidak mengeluarkan kenyataan sebegini pun, rakyat berhak untuk meragui janji pembangkang bagi menghapuskan tol. Mana tidaknya, setelah 10 tahun mentadbir Pulau Pinang, kerajaan negeri pimpinan DAP masih lagi sehingga hari ini mengekalkan kutipan tol di Sungai Nyior. Ia jelas satu bentuk pengkhianatan mereka kepada rakyat di negeri itu di mana DAP berjanji untuk menghapuskan kutipan tol tersebut dalam masa lima tahun jika berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang pasca PRU-12.

Akhirnya situasi dan perkara seumpama ini membuktikan satu perkara dengan begitu terang dan jelas: PH memang sanggup memperdaya dan tergamak menipu rakyat bagi mendapatkan undi. Cakap-cakap mereka bahawa tol membebankan rakyat nampaknya hanyalah satu mainan politik murahan. Inilah satu bentuk masa depan yang ‘dijanjikan’ pembangkang kepada rakyat. Persoalannya adakah rakyat mahu ataupun sanggup untuk diperdaya oleh mereka buat kesekian kalinya?

Mahathir Dan Kronisme Berpisah Tiada

Seperti yang pernah dikatakan ramai orang, Mahathir sendiri bukanlah orangnya yang boleh diharapkan untuk membawa agenda perubahan seperti yang dilaungkan PH dengan berdegar-degar. Gelaran “Bapa Segala Tol” yang diberikan kepada beliau bukanlah satu gelaran suka-suka, sebaliknya ia datang dengan bersebab. Mahathir adalah orangnya yang sibuk mengkayakan kroni melalui pelbagai imbuhan projek yang diberikan kepada mereka sepanjang pemerintahannya dahulu. Bukan sahaja konsesi lebuh raya, kita juga boleh kaitkan salah urus tadbir pemerintahan beliau dalam pelbagai lapangan lain seperti pembelian dan penjanaan tenaga elektrik dengan pengeluar tenaga bebas (IPP), pengurusan industri penerbangan negara MAS dan lain-lain.

Justeru, apabila Mahathir sendiri yang mempertahankan kutipan tol di Malaysia, ianya memang sinonim dengan beliau walaupun kenyataan itu jelas berlawanan dengan ‘aspirasi’ pembangkang sebelum ini. Kalaulah PH sememangnya berjaya menewaskan BN pada PRU kelak, maka tidaklah mustahil untuk pemerintahan Mahathir kembali mengkayakan kroni-kroninya melalui pelbagai imbuhan projek nasional. Akhirnya kita akan melihat negara ‘berpatah balik’ semula kepada situasi berdekad lalu di mana penyalahgunaan kuasa dan salah urus tadbir kembali berleluasa. Isu-isu yang sama akan timbul dan agenda perubahan akan terus terbantut.

Komitmen Kerajaan Lebih Terbukti

Malanglah jika kita sendiri yang menjadi antara ‘penyumbang’ ke arah terbantutnya agenda perubahan tersebut. Kerajaan persekutuan yang ada kini setidak-tidaknya telah membuktikan dengan jelas mengenai komitmen mereka dalam mengatur dan menstruktur semula kadar tol dan projek-projek seumpamanya sehinggakan beberapa konsesi tol sudah boleh ditamatkan sebelum sampai ataupun berakhirnya tempoh matang. Inilah bentuk perubahan yang kita inginkan. Biarpun ianya mungkin dilihat bergerak perlahan, namun setidak-tidaknya agenda perubahan dan matlamat meringankan beban rakyat terus sahaja dilaksanakan. Justeru, apakah dalam perubahan yang sudah digerakkan ini, rakyat masih lagi mahu mengambil risiko untuk bergantung harap kepada janji mengelirukan pihak yang satu lagi?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here