POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak perempuan M.Indira Ghandi, Prasana Diksa dan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis tidak pernah berhenti mencari kedua-dua mereka selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

“Pelbagai usaha telah dibuat, termasuklah meminta bantuan orang ramai mencari kedua-dua mereka melalui kenyataan media pada 28 Januari 2018.

“Sekali lagi, polis mahu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai bekas suami dan anak perempuan M. Indira Ghandi tampil ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan yang keputusan diambil Riduan untuk menukar agama tiga anak pasangan itu kepada Islam tanpa persetujuan Indira adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 2 April 2009, Riduan sebelum itu dikenali sebagai K. Pathmananthan menukar agama ketiga-tiga anaknya tanpa kebenaran Indira. Dua lagi anak mereka, Tevi Darsiny, 20, and Karan Dinish, 19, dijaga Indira.

Riduan melarikan Prasana selepas kemelut penjagaan hak anak-anak mereka. Lokasinya sehingga kini tidak diketahui.

Pada 2016, Indira yang merupakan seorang guru pra sekolah dilaporkan berkata yang dua anaknya mengamalkan ajaran Hindu sejak lahir malah MyKad mereka menggunakan nama diberi ketika lahir dan agama dicatat sebagai “Hindu”.

Wan Ahmad juga menasihati orang awam supaya tidak memainkan isu itu yang boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Selepas mahkamah tertinggi negara itu mengeluarkan penghakiman, Ketua Polis Negara Mohamd Fuzi Harun berikrar yang polis akan memburu Riduan dan Prasana yang diculiknya sembilan tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here