Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini tiba di Pulau Pinang bagi meninjau dengan dekat keadaan banjir Pulau Pinang, disambut mesra oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Apa pun, walaupun berbeza pandangan dan politik, kami akan bekerjasama menyelamatkan mangsa banjir Pulau Pinang,” kata timbalan perdana menteri itu selepas melawat mangsa banjir di Kepala Batas.

“Kerjasama dan bantuan kerajaan persekutuan adalah untuk kepentingan mangsa banjir sebagai rakyat Malaysia.”

Zahid turut menasihatkan rakyat Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bersedia hadapi hujan lebat, berdasarkan unjuran kaji cuaca.

Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena hujan lebat itu dijangka berterusan sehingga Februari di kebanyakan bandar di negeri utara pantai barat.

“Kami juga difahamkan fenomena itu akan beralih ke Sabah dan Sarawak akhir tahun ini,” katanya.

Zahid menggesa Jabatan Meteorologi memberi amaran 7 hari awal agar pekerja bantuan bencana dapat bersedia lebih awal.

Katanya, Jabatan Meteorologi perlu beri amaran 3 hari sebelum cuaca buruk berlaku.

Zahid berkata pemindahan boleh disegerakan sekiranya ada notis awal.

Sementara itu, Zahid meletakkan kadar kebersediaan Pulau Pinang hadapi banjir sebagai 7/10, sambil mengatakan lebih banyak perlu dibaiki.

Banjir yang melanda sejak Sabtu lalu menenggelamkan hampir semua kawasan di Pulau Pinang dengan jumlah mangsa meningkat kepada kira-kira 4,000 hari ini. Tujuh mangsa dilaporkan terbunuh setakat laporan ini ditulis.

Bantuan banjir akan disalurkan kepada mangsa di pusat pemindahan yang akan digerakkan oleh tentera, polis dan pertahanan awam.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here